SELANGOR: Skuad olahraga Sarawak menutup tirai saingan Sukan Malaysia (SUKMA) XXII Selangor 2026 dengan pencapaian membanggakan selepas mengumpul keseluruhan 15 pingat, terdiri daripada dua emas, tiga perak dan 10 gangsa.
Pencapaian itu mencerminkan semangat juang serta konsistensi barisan atlet Sarawak yang tampil memberikan saingan kompetitif dalam acara balapan dan padang sepanjang temasya berkenaan.
Dua pingat emas Sarawak hadir menerusi Yoyo Wong Zhi Yao dalam acara Baling Tukul Besi Wanita serta kuartet 4x100 Meter Wanita yang dibarisi Maritza Ferrer, Alvinia Aivie Jackly, Ormilla Octavia Codday Nyadau, Siti Nur Aalia, Syarifah Nur Alisya dan Danea Humairah.
Tiga pingat perak pula disumbangkan Jorez Puang Yi Jun menerusi acara Lontar Peluru Lelaki, manakala Maritza Ferrer tampil cemerlang dengan meraih dua perak masing-masing dalam acara Lompat Jauh Wanita dan Lompat Kijang Wanita.
Sementara itu, koleksi 10 pingat gangsa Sarawak disumbangkan Daniel Lau Hang Jung dalam Baling Tukul Besi Lelaki, Hii Seng Yan (Lontar Peluru Lelaki), Pauline Ului (Lempar Cakera Wanita), Chloe Then Shiang Yee (Lompat Tinggi Wanita), Joanna Anak Sangster (Lompat Jauh Wanita) dan Voon Pei Ling (Lontar Peluru Wanita).
Turut menghadiahkan gangsa ialah Alvinia Aivie Jackly menerusi acara 100 Meter Wanita, Syarifah Nur Alisya (100 Meter Lari Berpagar Wanita) dan Ormilla Octavia Codday Nyadau (400 Meter Wanita).
Satu lagi pingat gangsa diraih menerusi acara 4x400 Meter Campuran yang dibarisi Muhamad Irsyad Nabil, Muhamad Qarliff Kuyt, Theodosia Razak, Danea Humairah, Yusry Mohammad Saiffullah dan Ormilla Octavia Codday Nyadau.
Mengulas pencapaian keseluruhan skuad, Penolong Chef de Mission (Pencak Silat dan Olahraga) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri menyifatkan prestasi barisan atlet olahraga Sarawak sebagai membanggakan apabila masing-masing mempamerkan semangat juang tinggi sepanjang saingan.
Menurutnya, para atlet telah memberikan yang terbaik, malah beberapa daripada mereka turut berjaya memperbaharui catatan terbaik peribadi (personal best), sekali gus mencerminkan perkembangan positif hasil latihan dan persediaan yang dilalui.
Beliau berkata, pencapaian pada edisi kali ini turut menjadi pembakar semangat kepada barisan atlet untuk terus mempertingkatkan prestasi serta bekerja lebih keras sebagai persediaan menghadapi temasya akan datang.
Komitmen dan kesungguhan yang dipamerkan sepanjang SUKMA XXII diyakini mampu menjadi asas kukuh kepada skuad olahraga Sarawak untuk memburu pencapaian lebih cemerlang, sekali gus terus mengharumkan nama Bumi Kenyalang di pentas olahraga tanah air. -EDISI UKAS