Kapit Jadi Tumpuan Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Sarawak 2026
KUCHING: Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Sarawak 2026 yang bakal berlangsung di Kapit dijangka tampil lebih meriah dengan penekanan kepada elemen perpaduan, patriotisme dan inklusiviti dalam kalangan rakyat pelbagai kaum di negeri ini.
Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata, pemilihan Kapit sebagai lokasi sambutan memberi peluang kepada masyarakat pedalaman untuk turut merasai kemeriahan perayaan di samping memperkukuh semangat kebersamaan.
“Konsep utama kita adalah perpaduan, menyemarakkan semangat patriotisme dan memastikan sambutan ini bersifat inklusif.
“Kita mahu semua lapisan masyarakat merasai keceriaan serta penglibatan secara langsung dalam perayaan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa temu bual dalam program Juh Randau terbitan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), pada Khamis.
Dalam pada itu, Dato Sri Dr Stephen Rundi turut menegaskan bahawa penganjuran sambutan ini menjadi platform penting untuk mengingatkan rakyat tentang nikmat keamanan dan kestabilan politik yang dikecapi negara.
“Kita mahu rakyat sedar bahawa keamanan yang kita nikmati hari ini adalah hasil perancangan dan kepimpinan terdahulu. Ini sesuatu yang perlu dihargai dan dipelihara bersama,” ujarnya.
Beliau turut mengajak seluruh rakyat Sarawak untuk hadir memeriahkan sambutan tersebut di Kapit serta mengibarkan Jalur Gemilang sebagai tanda kesyukuran dan semangat cintakan negara.
Sambutan tersebut akan berlangsung di Kapit Town Square serta perkarangan Dewan Suarah Kapit dengan pelbagai pengisian yang telah dirancang bagi menarik penyertaan orang ramai.
Antara acara utama termasuk Ambang Merdeka pada 30 Ogos yang dijangka dihadiri oleh Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi serta barisan kepimpinan negeri.
Program itu akan diserikan dengan persembahan pentas, konsert artis tempatan dan luar, serta pertunjukan lampu berteknologi tinggi sebagai alternatif kepada bunga api berikutan faktor geografi kawasan berbukit.
Pada 31 Ogos, acara akan diteruskan dengan program ‘Unity Walk’ sejauh 1.5 kilometer yang turut melibatkan penyertaan kenamaan dan rakyat, sebelum kemuncak sambutan perhimpunan Hari Kebangsaan yang dijangka menghimpunkan sekitar 3,000 hingga 5,000 pengunjung.
Selain itu, elemen kebudayaan tempatan turut diberi penekanan dengan menampilkan persembahan pantun, termasuk pantun Iban yang sinonim dengan masyarakat Kapit, sebagai usaha mengetengahkan keunikan warisan tempatan.
Bagi mereka yang tidak dapat hadir secara fizikal, sambutan tersebut juga akan disiarkan secara langsung menerusi saluran televisyen dan platform dalam talian termasuk Facebook, YouTube serta Portal UKAS bagi membolehkan semua rakyat turut sama menyaksikan kemeriahan acara. -EDISI UKAS