Pengarah UKPS Buat Laporan Polis Isu Video Pijak Bendera Sarawak
KUCHING: Pengarah Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Sarawak (UKPS) Abdul Wahab Rahim membuat laporan polis pada Khamis berhubung penularan video di TikTok yang memaparkan seorang individu memijak bendera Sarawak.
Menurut beliau, laporan tersebut dibuat di Balai Polis Gita, Kuching pada jam 1.49 petang selepas rakaman video berkenaan dikesan pada hari sama.
“Perbuatan individu tersebut adalah amat tidak wajar dan biadap ke atas lambang kebanggaan sesebuah negeri.
“Di samping itu, ia juga boleh mendatangkan kemarahan atau kegusaran awam di kalangan rakyat Sarawak yang mungkin menyebabkan pecah keamanan,” katanya menerusi satu kenyataan media.
Dalam pada itu, Abdul Wahab memohon pihak polis untuk menyiasat perkara tersebut dan mengambil tindakan sewajarnya ke atas individu terlibat di bawah perundangan yang berkaitan demi memelihara ketenteraman dan keharmonian Sarawak. -EDISI UKAS