Persiapan Sambutan Hari Kebangsaan Di Kapit Berjalan Lancar
KUCHING: Persiapan Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Sarawak 2026 di Kapit berjalan lancar, dengan aspek fizikal dan bukan fizikal terus diselaraskan menjelang sambutan hujung bulan ini.
Residen Bahagian Kapit, Elvis Didit berkata kerja-kerja penyediaan tapak utama bersebelahan Dewan Suarah Kapit dan lokasi Ambang Merdeka di Kapit Town Square kini di peringkat akhir.
Menurut beliau, hanya pembinaan pentas di tapak utama masih belum siap sepenuhnya, manakala aspek bukan fizikal seperti penyelarasan program dan pengisian acara telah berada pada tahap kesiapsiagaan yang baik.
“Bahagian Kapit bertindak sebagai sekretariat dengan memastikan tiada halangan dalam persiapan, kelancaran perjalanan acara serta penyertaan aktif masyarakat setempat termasuk pengunjung dari luar,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa sesi temu bual program Juh Randau terbitan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), pada Khamis.
Elvis menambah, aspek logistik dan penginapan turut diberi perhatian berikutan kapasiti hotel yang terhad di Kapit, dengan kemudahan inap desa serta perjalanan ulang-alik dari Sibu menjadi antara alternatif kepada pengunjung.
Dalam pada itu, beliau berkata sambutan kali ini diharap menjadi detik bersejarah buat Bahagian Kapit.
“Ini peluang untuk kita tonjolkan Kapit sebagai bahagian yang kaya dengan kepelbagaian budaya, keindahan geografi serta keunikan makanan tempatan,” ujarnya.
Sambutan kali ini bakal dimeriahkan dengan pelbagai pengisian termasuk konvoi motosikal berkuasa tinggi dari Kuching ke Kapit pada 29 Ogos, diikuti program lawatan ke Empangan Baleh serta Sambutan Ambang Merdeka pada 30 Ogos.
Sambutan Ambang Merdeka bakal menampilkan persembahan artis tempatan dan luar seperti Mawat, Ramles Water, Masterpiece serta Kelly Ho yang dijangka menarik kehadiran ramai pengunjung.
Selain itu, program ‘Unity Walk’ pada pagi 31 Ogos mengajak masyarakat mengenakan pakaian yang mencerminkan identiti masing-masing sebagai simbol perpaduan dalam kepelbagaian.
Sambutan turut disiarkan secara langsung menerusi platform media sosial dan Portal Unit UKAS bagi membolehkan orang ramai mengikuti mengikuti acara berkenaan. -EDISI UKAS