SMK Saribas Diperkasa Dengan Kemudahan Digital, Fokus Lahir Murid Celik IT
DEBAK: Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Saribas terus diperkasa dengan kemudahan pembelajaran digital menerusi sumbangan dua unit Smart Board dan 12 unit Smart TV bagi meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran (PdP) serta melahirkan murid yang celik teknologi.
Sumbangan berkenaan disampaikan Ahli Parlimen Betong, Dato Dr Richard Rapu menerusi Majlis Simbolik Penyerahan Smart Board dan Smart TV SMK Saribas 2026 di Ruai Rimbas SMK Saribas, pada Selasa.
Dato Dr Richard berkata, sumbangan tersebut bertujuan menambah baik prasarana digital sekolah selaras dengan keperluan pendidikan masa kini yang semakin menekankan penggunaan teknologi secara interaktif dalam PdP.
Menurutnya, kemudahan berkenaan turut memberi peluang kepada murid luar bandar menikmati pengalaman pembelajaran yang lebih interaktif dan bersesuaian dengan perkembangan teknologi semasa.
“Saya berharap usaha pelaburan pendidikan kita pada masa kini dapat diterjemahkan dengan kejayaan dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang, di mana SMK Saribas akan melahirkan murid-murid yang celik IT dan berkualiti tinggi,” katanya.
Beliau turut merakamkan tahniah kepada pihak SMK Saribas atas prestasi baik dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), sambil berharap pencapaian akademik sekolah terus dipertingkatkan menerusi sokongan kemudahan pendidikan yang lebih baik.
Sementara itu, Pengetua SMK Saribas, Nur Liana Lim Abdullah, berkata kemudahan digital tersebut akan dimanfaatkan sepenuhnya bagi membantu guru melaksanakan PdP yang lebih berkesan serta memberi pengalaman pembelajaran lebih menarik kepada murid.
Beliau menzahirkan penghargaan atas keprihatinan dan sokongan berterusan terhadap pendidikan di kawasan luar bandar serta berharap kemudahan berkenaan menjadi pemangkin kepada peningkatan prestasi akademik, motivasi murid dan pencapaian sekolah secara keseluruhannya.-EDISI UKAS