LAWAS: Pengukuhan institusi keluarga perlu diberi perhatian berterusan bagi membentuk masyarakat yang lebih harmoni, berdaya tahan dan mampu menangani cabaran sosial semasa.
Sehubungan itu, Kursus Motivasi dan Kepimpinan Keluarga Sejahtera anjuran Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Daerah Lawas menjadi platform penting dalam meningkatkan kesedaran mengenai peranan keluarga serta memperkukuh hubungan antara keluarga, komuniti dan agensi kerajaan.
Kira-kira 80 peserta terdiri daripada wakil agensi kerajaan, pemimpin masyarakat, komuniti dan pelajar menyertai kursus itu yang berlangsung di Dewan Ibnu Sina, SK Agama MIS Lawas pada Rabu.
Program tersebut turut memberi penekanan terhadap pembentukan sahsiah, pembangunan jati diri, kemahiran komunikasi berkesan serta semangat kerja berpasukan dalam kehidupan seharian.
Pengarah Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) Kampus Lawas, Sheikh Hadzrei Adam Seberi yang mewakili Pegawai Daerah Lawas berkata, kerjasama antara keluarga, komuniti dan agensi kerajaan penting bagi memastikan isu sosial dapat ditangani melalui pendekatan serta saluran yang betul.
Beliau turut menekankan kepentingan peranan ibu bapa dalam membimbing anak-anak agar sentiasa mengamalkan nilai positif, mematuhi peraturan serta menjauhi pengaruh yang boleh menjejaskan masa depan mereka.
“Penglibatan masyarakat dalam aktiviti kemasyarakatan serta usaha meningkatkan ekonomi keluarga juga merupakan antara aspek yang boleh menyumbang kepada kesejahteraan sesebuah keluarga,” katanya semasa berucap.
Sementara itu, PPMK Pembangunan Komuniti (Pembangunan Desa) KEMAS, Norazmi Sulaiman yang mewakili Pegawai KEMAS berkata, penyertaan pelbagai lapisan masyarakat membuktikan komitmen komuniti setempat dalam memperkukuh institusi keluarga sebagai asas pembentukan masyarakat.
Menurutnya, pendekatan interaktif dan praktikal yang diterapkan sepanjang kursus dapat membantu merapatkan jurang komunikasi, mengurangkan risiko masalah sosial serta menangani konflik kekeluargaan melalui pendekatan yang lebih berkesan.
Program tersebut turut menampilkan perkongsian daripada pihak polis dan penceramah berkaitan kekeluargaan, pencegahan sosial serta pembentukan nilai positif dalam kalangan masyarakat.-EDISI UKA