Sarawak Pantau Situasi Jerebu, Sedia Batal Acara Luar
KUCHING: Kerajaan Sarawak bersedia membatalkan acara pelancongan dan industri kreatif yang diadakan di kawasan terbuka sekiranya keadaan jerebu bertambah buruk.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, langkah itu penting bagi memastikan keselamatan dan keselesaan orang ramai terus menjadi keutamaan.
“Sekiranya keadaan tiba-tiba menjadi lebih buruk, kita bersedia. Jika perlu membatalkan program-program tersebut, kita akan membatalkannya. Tetapi saya berharap kita tidak perlu sampai ke tahap itu,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pendedahan Kalendar WAK Festival 2026 di sini, pada Khamis.
Menurut Dato Sri Abdul Karim, antara acara luar yang bakal berlangsung termasuk Borneo Jazz Festival, Borderland Music Festival, Pesta Air Sibujaya dan Sarawak International Dragon Boat Regatta, selain pelbagai program pelancongan dan industri kreatif lain.
Katanya, acara yang berlangsung di dalam bangunan tidak terlalu terjejas, namun program luar memerlukan pemantauan berterusan terhadap keadaan cuaca dan kualiti udara.
“Kita berharap apabila tiba masa acara-acara tersebut berlangsung, keadaan jerebu sudah berkurangan. Apabila arah angin berubah, keadaan jerebu juga boleh berubah,” ujarnya.
Dato Sri Abdul Karim menegaskan, kerajaan bersama penganjur akan terus memantau keadaan semasa dan mengambil tindakan sewajarnya sekiranya kualiti udara menjejaskan keselamatan peserta serta pengunjung.
Menurut beliau, keadaan jerebu ketika ini banyak dipengaruhi perubahan arah angin dan diharap tidak berlarutan sehingga menjejaskan pelbagai acara yang telah dirancang. -EDISI UKAS