WAK Festival 2026 Tampil 440 Acara Sepanjang Oktober Ini
KUCHING: WAK Festival 2026 kembali memeriahkan Kuching sepanjang Oktober dengan 83 acara unik merangkumi 440 acara harian serta penglibatan 49 kolaborator daripada pelbagai segmen industri kreatif Sarawak.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak (MTCP), Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, WAK Festival edisi kelapan berlangsung dari 1 hingga 31 Oktober, sekali gus menyediakan platform lebih luas kepada penggiat seni dan industri kreatif tempatan.
“WAK Kuching akan bermula dari 1 hingga 31 Oktober dengan 83 acara unik dan 440 acara harian. Di sebalik semua ini, terdapat 49 kolaborator yang mewakili sebahagian besar industri kreatif Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap semasa Majlis Pendedahan Kalendar WAK Festival 2026 di sini, pada Khamis.
Menurut Dato Sri Abdul Karim, WAK yang diperkenalkan pada 2017 kini berkembang sebagai platform yang mendapat sokongan komuniti kreatif, pemain industri dan pelbagai pihak berkepentingan.
Katanya, peluasan WAK ke Sibu dan Miri turut memperkukuh hubungan antara komuniti kreatif di seluruh Sarawak, sekali gus memberi ruang lebih besar kepada penggiat seni, budaya dan industri kreatif tempatan.
Dalam pada itu, ujar beliau, WAK Festival 2026 menampilkan 14 genre termasuk seni, komedi, budaya, muzik, teater, sukan, makanan, filem dan kesejahteraan, selain pelbagai pameran, persembahan, konsert, bual bicara, bengkel serta pengalaman kreatif di sekitar Kuching.
Dato Sri Abdul Karim berkata kepelbagaian pengisian tersebut bukan sahaja menyediakan platform kepada penggiat kreatif untuk mengetengahkan bakat dan karya mereka, malah berpotensi menarik lebih ramai pengunjung ke Kuching sepanjang bulan berkenaan.
Menurutnya, WAK turut menyumbang kepada sektor pelancongan dan ekonomi tempatan menerusi limpahan manfaat kepada industri hospitaliti, makanan, kraftangan serta perniagaan berkaitan.
“Pelaburan dalam komuniti kreatif juga merupakan pelaburan dalam pelancongan, industri hospitaliti, ekonomi serta rakyat dan identiti Sarawak,” ujarnya.
Beliau berkata Kuching sebagai Bandar Kreatif Gastronomi turut mempunyai kelebihan untuk mengetengahkan kepelbagaian makanan tempatan sebagai antara tarikan festival, selain seni, muzik, komedi, teater, budaya dan sukan.
Pada masa sama, beliau menggalakkan masyarakat tempatan untuk hadir memeriahkan pelbagai acara sepanjang festival sebagai tanda sokongan kepada penggiat kreatif, terutamanya golongan muda, sekali gus membantu membina keyakinan mereka untuk menceburi industri kreatif secara lebih serius.
Turut hadir ialah Timbalan-Timbalan Menteri MTCP, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew dan Datuk Snowdan Lawan, Pengerusi Lembaga Pelancongan Sarawak (STB), Dato Dennis Ngau, Pengerusi Majlis Perbandaran Padawan (MPP), Tan Kai, Pengarah Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU), Ramzi Abdillah, Penasihat Old Kuching Smart Heritage (OKSHE), Profesor Emeritus Datuk Dr Khairuddin Abdul Hamid, Ketua Pegawai Eksekutif STB, Dr Sharzede Datu Salleh Askor, Pengarah Tourism Malaysia Sarawak, Rubiah Tul’Adawiyah Md Yusof, Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Sarawak, Noor Seela Noor Sulaiman serta Pengarah Urusan Kumpulan PE Holdings, James Ling. -EDISI UKAS