TYT Sarawak & Toh Puan Terima Kunjungan Hormat Delegasi Majlis Senator Malaysia
KUCHING: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi berkenan menerima kunjungan hormat delegasi Majlis Senator Malaysia di Astana Negeri Sarawak, pada Selasa.
Kunjungan pada jam 11 pagi itu diketuai Presiden Majlis Senator Malaysia, Dato’ Sri Khairudin Es Abdul Samad bersama Naib Presiden, Senator Abun Sui Anyit dan Setiausaha Kehormat, Dato’ Dr. Mashitah Ibrahim.
Kunjungan berkenaan antara lain bertujuan menyampaikan jemputan rasmi kepada Tun Pehin Sri Wan Junaidi untuk menjadi Penaung Majlis Makan Malam anjuran Majlis Senator Malaysia yang akan diadakan di Kuala Lumpur.
Dalam pertemuan itu, Tun Pehin Sri turut berkongsi pandangan, nasihat dan pengalaman berkaitan institusi Parlimen serta kepimpinan berdasarkan pengalaman beliau sepanjang 18 tahun berkhidmat sebagai Ahli Parlimen sebelum diberi kepercayaan memegang jawatan Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat.
Beliau turut berkongsi pengalaman mengemukakan beberapa cadangan berkaitan reformasi Parlimen, termasuk usaha memperkukuh kebebasan dan autonomi pentadbiran Parlimen daripada cabang eksekutif, mekanisme berkaitan pemecatan (impeachment) Perdana Menteri serta penubuhan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (Special Select Committee).
Tun Pehin Sri turut mengimbas pertemuan bersama Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim kira-kira seminggu selepas beliau memegang jawatan bagi membincangkan beberapa cadangan berkaitan reformasi Parlimen.
Menyentuh tatacara persidangan Dewan Negara, Tun Pehin Sri mengingatkan bahawa setiap perbahasan dan interaksi antara ahli hendaklah dibuat melalui Yang di-Pertua Dewan selaras dengan peraturan serta tatacara persidangan.
Tun Pehin Sri turut berharap Majlis Senator Malaysia terus memainkan peranan sebagai wadah menghimpunkan pengalaman, pengetahuan dan kepakaran ahlinya, di samping menjadi jambatan dalam menyumbangkan pemikiran konstruktif demi kesejahteraan masyarakat dan kemajuan negara.-EDISI UKAS