SSLR Lengkapi Pembangunan Infrastruktur Telang Usan
MIRI: Projek Sarawak-Sabah Link Road (SSLR) dijangka memperluas akses perhubungan sekali gus memudahkan pergerakan masyarakat di kawasan pedalaman Telang Usan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan, Dato Dennis Ngau berkata, pelaksanaan SSLR melengkapi pembangunan infrastruktur sedia ada termasuk Jambatan Long Lama, Jambatan Sungai Tutoh, jambatan gantung di Long Luteng dan Long Itam serta jalan Long Lama-Simpang Temala.
Menurut beliau, pembangunan itu turut diperkukuh menerusi ratusan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) bagi meningkatkan kemudahan asas dan kesejahteraan masyarakat.
“Apabila rangkaian jalan raya ini siap dan dapat dimanfaatkan sepenuhnya, ia berpotensi membawa perubahan besar kepada kehidupan masyarakat kita.
“Perjalanan akan menjadi lebih mudah, kos pengangkutan berpotensi dikurangkan, manakala akses kepada sekolah, klinik, pasaran dan perkhidmatan kerajaan akan bertambah baik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutupan Program Komuniti Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak di Dewan Serbaguna Kampung Long Bedian, pada Ahad.
Dato Dennis berkata, jaringan perhubungan lebih baik turut membuka peluang memasarkan hasil pertanian serta memperluas akses kepada pendidikan, pekerjaan dan aktiviti ekonomi, selari dengan aspirasi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030).
Program berkenaan menghimpunkan lebih 1,000 penduduk daripada lebih 30 rumah panjang di kawasan Sungai Apoh, Tutoh, Layun dan Patah Abang serta melibatkan pelbagai agensi kerajaan dalam menyampaikan maklumat mengenai perkhidmatan, bantuan dan peluang kepada masyarakat.
Turut terlibat, Sarawak Energy Berhad (SEB), Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC), Agensi Pembangunan Tanah Tinggi (HDA), Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB), Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Jabatan Kebajikan Masyarakat, Polis Diraja Malaysia, Sarawak Information Systems (SAINS), Yayasan Sarawak dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK). - EDISI UKAS