Aksi Sulung Di Laman Sendiri, KCFC Buru Kemenangan
KUCHING: Kuching City FC (KCFC) memburu kemenangan dalam aksi sulung Shopee Cup di laman sendiri apabila menerima kunjungan Tampines Rovers FC di Stadium Taha Ariffin, pada Rabu.
Ketua Jurulatih KCFC, Aidil Sharin Sahak berkata, kelebihan beraksi di gelanggang sendiri perlu dimanfaatkan sepenuhnya oleh pemain untuk mengubah keputusan dua perlawanan terdahulu musim ini yang berlangsung di tempat lawan.
Menurutnya, KCFC mahu pemain turun dengan mentaliti positif, menikmati permainan dan memberikan persembahan terbaik di hadapan penyokong sendiri.
“Ini aksi di laman sendiri, jadi kami mahu mengubah keadaan itu. Kami mahu pemain mempunyai mindset dan mentaliti untuk menikmati bola sepak serta menghiburkan penyokong.
“Yang paling penting, kami mahu menang dalam perlawanan pertama di laman sendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media praperlawanan KCFC menentang Tampines Rovers FC, di sini pada Selasa.
Aidil berkata, dua perlawanan terdahulu KCFC dalam ACL2 dan Liga Super Malaysia berlangsung di gelanggang lawan dan tidak memihak kepada pasukan itu.
Justeru, aksi di Stadium Taha Ariffin dilihat sebagai peluang buat KCFC memanfaatkan kelebihan laman sendiri, termasuk sokongan penyokong yang mampu menjadi pembakar semangat kepada pemain.
“Berdasarkan kertas, sebelum perlawanan, bermain di laman sendiri sentiasa memberi lebih kelebihan kerana kita ada penyokong, keluarga dan lebih mengenali padang.
“Tetapi bola sepak, apa sahaja boleh berlaku. Kita tidak boleh memandang rendah lawan dan perlu bermain mengikut perancangan serta sentiasa kuat apabila berdepan mana-mana pasukan,” katanya.
Mengulas kekuatan Tampines Rovers, Aidil mengakui kelab Singapura itu bukan lawan mudah kerana memiliki pengalaman luas dalam saingan antarabangsa selain dibarisi beberapa pemain berpengalaman.
“Setiap perlawanan antarabangsa memang sukar. Tampines setiap musim beraksi dalam ACL2 dan mereka mempunyai pengalaman.
“Mereka juga mempunyai pemain seperti Faris Ramli, Shahiran dan Amirul Adli yang merupakan pemain antarabangsa Singapura.
“Jadi, kami menjangkakan perlawanan yang sengit dan pertarungan yang baik,” katanya.
Sementara itu, pertahanan KCFC, Rodney Celvin atau lebih dikenali sebagai Bonai dalam kalangan peminat berkata, barisan pemain teruja untuk turun beraksi dalam perlawanan pertama Shopee Cup di laman sendiri.
Katanya, KCFC menghormati kekuatan Tampines Rovers, namun bersedia memberikan segala kemampuan bagi memastikan pasukan mampu memberikan saingan terbaik.
“Untuk kami sebagai pemain, memang sangat teruja dengan perlawanan pertama di laman sendiri dalam Shopee Cup.
“Kami menghormati pasukan lawan, tetapi apabila berada di dalam padang, kami akan memberikan yang terbaik,” katanya.
Bonai turut mengakui sokongan penyokong Sarawak, khususnya peminat KCFC mampu menjadi pembakar semangat kepada pasukan ketika berdepan kelab luar negara.
Dalam pada itu, Aidil menyeru penyokong hadir memenuhi Stadium Taha Ariffin bagi memberikan sokongan kepada KCFC dalam aksi antarabangsa berkenaan.
“Kami sangat memerlukan penyokong. Ini perlawanan antarabangsa dan bukan setiap masa Kuching City berada dalam Shopee Cup atau ACL.
“Kami harap penyokong datang dan sokong pasukan, tidak kira hujan atau panas. Pakai warna Sarawak, sorak pasukan dan jadikan suasana di stadium sesuatu yang membuatkan pasukan lawan berasa gentar,” katanya lagi.-EDISI UKAS