Sarawak Sasar Hasil Padi Sehingga 12 Tan Metrik Sehektar
KUCHING: Sarawak menyasarkan peningkatan hasil padi sehingga 12 tan metrik sehektar bagi setiap musim menerusi penambahbaikan dasar pengeluaran yang memberi tumpuan kepada infrastruktur, benih, teknologi dan sumber manusia.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, sasaran antara lapan hingga 12 tan metrik sehektar itu merupakan lonjakan besar berbanding hasil purata semasa sekitar 1.2 tan metrik sehektar bagi setiap musim.
Menurut beliau, aspek ketersediaan tanah turut diberi perhatian dengan sebanyak 14,000 hektar tanah telah dikenal pasti bagi pengeluaran padi, terdiri daripada tanah Kerajaan Negeri dan tanah pekebun kecil.
“Majoritinya adalah tanah Kerajaan Negeri iaitu sebanyak 7,000 hektar, iaitu 50 peratus, telah diwartakan untuk pengeluaran padi.
“Ini kerana kita tidak mahu orang menanam tanaman lain. Kita perlu mewartakannya. Mereka mungkin menanam ladang kelapa sawit berskala kecil kerana ia memberikan pulangan lebih tinggi berbanding beras.
“Jadi, bagi mengelakkan perkara itu dan mengawal penggunaan tanah, kita mewartakannya sebagai kawasan pengeluaran padi. Mereka tidak boleh menanam tanaman lain,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam ‘Sarawak Rice Convention (SARICON) II’ pada Selasa.
Tambahnya, langkah berkenaan memberi jaminan terhadap ketersediaan tanah selain memastikan kawasan yang dikenal pasti kekal digunakan untuk penanaman padi.
Dalam pada itu, Datuk Patinggi Abang Zohari memberitahu, penyelidikan terhadap varieti benih baharu dan benih hibrid perlu dipertingkatkan bagi menghasilkan hasil padi yang lebih tinggi.
Jelasnya, pencapaian sasaran berkenaan merupakan tugas mencabar dan memerlukan penglibatan saintis serta penyelidik untuk meneroka varieti baharu, benih hibrid dan kaedah pengurusan tanaman yang bersesuaian.
“Kerajaan Sarawak sedang bekerjasama dengan UPM Bintulu untuk mengenal pasti kawasan dan berusaha mendapatkan komponen penting serta strategik yang dapat menghasilkan hasil lebih tinggi dan pada masa yang sama meningkatkan pengeluaran.
“Dalam perkara ini, kita juga boleh bekerjasama dengan penyelidik lain, untuk memberikan input yang tepat kepada kita dan mencapai sasaran yang telah kita tetapkan,” jelas beliau. -EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: George Embie