RM1.42 Juta Pampasan Tanah Disalur Bagi Projek Jambatan Sungai Sadong
SERIAN: Pampasan tanah berjumlah RM1,423,550.90 disalurkan kepada 29 pemilik dan penuntut tanah bagi melancarkan proses pengambilan tanah untuk Projek Pembinaan Jambatan Sungai Sadong di Kampung Sorak Melayu.
Dalam hal ini, sebanyak 37 cek diserahkan kepada penerima dari Kampung Sorak Sumpung, Kampung Sorak Dayak, Kampung Sorak Mawang dan Kampung Sorak Melayu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Semuja, John Ilus berkata, pembinaan jambatan berkenaan amat diperlukan bagi meningkatkan jaringan perhubungan penduduk, khususnya ketika musim banjir.
“Projek ini merupakan antara keutamaan selepas penubuhan Agensi Penyelarasan Pembangunan Greater Kuching (GKCDA) dalam usaha memperkukuh jaringan perhubungan serta membuka ruang kepada pembangunan sosioekonomi kawasan sekitar,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Cek Pampasan Tanah di Bilik Mesyuarat Pejabat Residen Bahagian Serian, pada Khamis.
John turut meminta kontraktor memastikan projek dilaksanakan mengikut spesifikasi dan tempoh yang ditetapkan, selain menggalakkan penduduk berhubung dengan kontraktor serta agensi berkaitan sekiranya timbul sebarang isu sepanjang pelaksanaannya.
Beliau yakin pembinaan jambatan berkenaan akan merancakkan pembangunan Kampung Sorak Melayu dan kawasan sekitarnya, sekali gus membuka lebih banyak peluang ekonomi serta meningkatkan kesejahteraan penduduk.
Sementara itu, Penguasa Jabatan Tanah dan Survei Bahagian Serian, Abdul Khalil Amit berkata, sebanyak empat bidang tanah bergeran dan tiga bidang tanah tidak bergeran telah diambil balik bagi tujuan pelaksanaan projek tersebut.
Katanya, projek itu diluluskan pada 16 Julai 2025, manakala notis pengambilan tanah di bawah Seksyen 5(3), Seksyen 5(4) dan Seksyen 48 Kanun Tanah Negeri diluluskan pada 16 Februari 2025.
Beliau berkata, kerja pengukuran oleh Jabatan Tanah dan Survei bermula pada 24 Jun 2026 dan siap sepenuhnya pada 17 Julai 2026.
Turut hadir, Jurutera Bahagian Jabatan Kerja Raya (JKR) Serian, Ir Ts Chiresly Francis Kureng serta wakil Pegawai Tadbir Khas GKCDA, Teresa Albert. -EDISI UKAS