Kurang Seminggu Latihan, Elvis & Jared Tetap Terjun Raih Emas
SELANGOR: Hanya berbekalkan kira-kira seminggu latihan bersama, gandingan penerjun Sarawak, Elvis Priestly Clement dan Jared Aiden Harold tetap membuktikan kemampuan apabila berjaya menghadiahkan pingat emas buat Bumi Kenyalang menerusi acara 10 Meter Platform Seirama Lelaki pada Sukan Malaysia (SUKMA) XXII Selangor 2026, pada Khamis.
Kejayaan itu lebih bermakna apabila kedua-duanya turun dengan persiapan terhad selepas menjalani latihan secara berasingan, sekali gus perlu membina semula keserasian dalam tempoh singkat menjelang temasya berkenaan.
Menurut Jared, persiapan bersama Elvis amat terhad berikutan komitmen latihan masing-masing, termasuk penyertaannya dalam kem latihan di luar yang menyebabkan mereka tidak dapat berlatih bersama secara konsisten.
Katanya, mereka hanya mempunyai kira-kira seminggu untuk kembali menyelaraskan terjunan sebelum turun beraksi pada SUKMA kali ini.
“Persiapan dengan Elvis memang kurang kerana saya ada mengikuti kem latihan di luar dan kami baru kembali berlatih secara seirama kira-kira seminggu sebelum SUKMA.
“Kali terakhir kami bergandingan dalam acara seirama adalah ketika SUKMA 2022 di Kuala Lumpur. Jadi, kami sebenarnya tidak menjangkakan emas kali ini kerana lawan juga kuat dan persiapan kami sangat terhad,” katanya ketika ditemui selepas upacara penyampaian pingat di Pusat Akuatik Darul Ehsan di sini.
Sementara itu, Elvis mengakui gembira dengan kejayaan tersebut meskipun belum berpuas hati sepenuhnya dengan persembahan mereka.
“Sudah tentu gembira dapat emas, tetapi dari segi persembahan kami masih kurang berpuas hati. Namun, kami tetap bersyukur dengan apa yang diperoleh.
“Kami berdua pun baru mula mendapatkan semula keserasian dalam acara seirama,” katanya.
Dalam pada itu, Elvis menyifatkan SUKMA kali ini sebagai medan penting untuk kembali mendapatkan rentak pertandingan sebelum membawa cabaran negara pada Sukan Asia, khususnya menerusi acara 10 Meter Platform Seirama Lelaki bersama Enrique.
Menurutnya, sasaran utama adalah untuk membawa pulang pingat meskipun menyedari cabaran di pentas Asia bukan mudah, terutama berdepan kuasa besar sukan terjun seperti China.-EDISI UKAS