Tiada Istilah Pemain Simpanan, Kekuatan Seimbang Pacu Bola Tampar Wanita Sarawak Ke Final
SELANGOR: Tiada istilah ‘pemain simpanan’ dalam skuad bola tampar wanita Sarawak apabila setiap anggota pasukan memiliki kemampuan untuk menggalas peranan utama, sekali gus menjadi antara ramuan penting kejayaan mereka mara ke pentas final Sukan Malaysia (SUKMA) Ke-22 Selangor 2026.
Penolong Ketua Kontinjen (ACDM), Angellie Stephen Raja berkata, kekuatan yang seimbang dalam setiap posisi membolehkan skuad Sarawak mengekalkan rentak konsisten sepanjang kejohanan, termasuk mencatat kemenangan 3-0 pada aksi separuh akhir untuk mengesahkan tempat dalam perebutan pingat emas.
Menurutnya, kelebihan skuad Sarawak terletak pada kemampuan setiap pemain untuk saling melengkapi sehingga pasukan tidak perlu bergantung kepada seorang atau dua pemain tertentu.
"Perkara itu terbukti apabila kecederaan yang dialami seorang pemain utama pada hari pertama pertandingan tidak menjejaskan keseluruhan prestasi pasukan.
“Semua pemain mempunyai tahap kemahiran yang agak seimbang, termasuk dari segi posisi yang dimainkan. Pasukan ini tidak bergantung kepada seorang atau dua pemain bintang sahaja.
“Sebaliknya, setiap pemain mempunyai kemampuan yang seimbang dalam peranan masing-masing.
“Sebab itulah mereka mampu saling membantu dan menampung kekurangan antara satu sama lain. Jika seorang pemain tidak dapat beraksi pada tahap terbaik, pemain lain masih mampu mengambil alih dan mengisi posisinya,” katanya ketika ditemui UKAS dan Sarawak Tribune di Dewan Bola Tampar MBSA Seksyen 4 pada Jumaat.
Sebelum itu, beliau bersama Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Prof Dr Sim Kui Hian dan Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS) Datuk Abdullah Saidol menyaksikan perlawanan separuh akhir antara pasukan Sarawak dan Wilayah Persekutuan di mana Sarawak menang 3-0 sekaligus mara ke final.
Angellie turut senada dengan pandangan ketua jurulatih bola tampar wanita bahawa kesemua anggota skuad berkenaan mempunyai kemampuan sebagai pemain utama dan bukannya sekadar berperanan sebagai pemain simpanan.
“Ya, itu benar. Itulah antara faktor yang membolehkan mereka mengekalkan konsistensi.
“Kita tidak terlalu bimbang sekiranya seorang pemain tidak dapat beraksi kerana sentiasa ada pemain lain yang mampu masuk dan mengambil alih posisinya.
“Itulah keistimewaan pasukan ini. Itulah juga kelebihan yang saya lihat dalam kalangan pemain Sarawak,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau berkata, pencapaian skuad kali ini lebih memberangsangkan apabila sekurang-kurangnya separuh daripada barisan pemain terdiri daripada muka baharu berbanding skuad yang beraksi pada SUKMA 2024 di Sarawak.
Jelasnya, kemasukan pemain baharu tidak menjejaskan momentum pasukan hasil latihan berprestasi tinggi yang dijalani secara berterusan di Sibu selain pendedahan menerusi latihan dan pertandingan.
Hubungan rapat dalam kalangan pemain turut menjadi faktor kepada keserasian pasukan jelasnya apabila mereka bukan sahaja menjalani latihan bersama, malah banyak menghabiskan masa sebagai satu pasukan.
“Mereka juga sentiasa bersama. Kadangkala mereka makan dan tidur bersama. Sebab itulah hubungan antara mereka sangat rapat.
“Keakraban itu membantu mereka berkomunikasi dengan baik antara satu sama lain. Dari situlah terbentuknya keserasian dalam kalangan pemain,” jelasnya.
Mengulas mengenai aksi final, Angellie optimis skuad wanita Sarawak mampu mengekalkan momentum untuk memburu pingat emas berdasarkan prestasi konsisten dan stabil yang dipamerkan sepanjang kejohanan.
Malah, beliau melihat skuad berkenaan mempunyai potensi untuk melangkah ke tahap lebih tinggi termasuk beraksi di pentas Sukan SEA sekiranya momentum tersebut dapat diteruskan.
“Dengan momentum yang mereka miliki sekarang, saya menjangkakan mereka mampu memenanginya.
“Sekiranya mereka berjaya menjadi juara, saya melihat ada potensi untuk mereka beraksi pada Sukan SEA akan datang.
“Jika mereka mampu melangkah sehingga ke pentas Sukan SEA, mengapa tidak kita melihat mereka pergi lebih jauh selepas itu” katanya.-EDISI UKAS