BAGFest 2026 Perkukuh Hubungan Industri Kreatif Sarawak Dengan Pemain Nasional
KUCHING: Borneo Animation and Games Festival (BAGFest) 2026 memperkukuh hubungan industri kreatif Sarawak dengan pemain nasional menerusi pertukaran Memorandum Persefahaman (MOU) dan perjanjian yang membuka peluang kepada pembangunan bakat, penghasilan projek serta peluasan pasaran.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, BAGFest bukan sekadar festival, sebaliknya platform yang menghimpunkan bakat, teknologi, industri, pelaburan dan komuniti bagi membina ekosistem industri kreatif digital yang lebih kukuh.
"Hasrat kita bukan sekadar menganjurkan acara, sebaliknya kita mahu membina sebuah industri," katanya.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas pada majlis perasmian BAGFest 2026 di sini, pada Jumaat.
Menurut Premier Sarawak, industri animasi, permainan video, filem, media imersif dan kandungan digital kini bukan lagi sekadar hiburan, malah berpotensi mewujudkan peluang pekerjaan, menarik pelaburan serta menghasilkan harta intelek yang mampu menembusi pasaran global.
Beliau berkata, kekayaan budaya, warisan, biodiversiti dan kisah masyarakat Sarawak turut menyediakan asas kukuh untuk diterjemahkan kepada kandungan kreatif seperti animasi, permainan, filem serta pengalaman digital yang mempunyai nilai komersial dan potensi antarabangsa.
Dalam majlis tersebut, pertukaran MOU melibatkan Fly Studio (Kuala Lumpur/Selangor) dengan Asa Esa dan Trifoldx (Sarawak) serta Metadise.io (Sarawak) dengan Todak Academy (Kuala Lumpur/Selangor).
Kerjasama berkenaan memperlihatkan usaha menghubungkan pemain industri tempatan dengan rakan strategik nasional, sekali gus membuka ruang kolaborasi dalam pembangunan projek, bakat dan akses kepada pasaran yang lebih luas.
Turut hadir ialah Timbalan Menteri Digital Datuk Wilson Ugak Kumbong, Ketua Setiausaha Kementerian Digital Datuk Fabian Bigar, Pengerusi SDEC Tan Sri Datuk Amar Mohamad Morshidi Abdul Ghani, Pengerusi MDEC Ganesh Kumar Bangah, Ketua Pegawai Eksekutif SDEC Dato Ir Ts Sudarnoto Osman dan Ketua Pegawai Eksekutif MDEC Anuar Fariz Fadzil. -EDISI UKAS