KUCHING: Kerajaan Sarawak memperkukuh kesiapsiagaan menghadapi jerebu dan musim kemarau menerusi kerjasama rentas agensi, pemantauan titik panas serta tindakan awal bagi menangani risiko kebakaran dan gangguan bekalan air.
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) telah diarahkan berhubung dengan Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan kementerian berkaitan di Putrajaya untuk membawa isu jerebu rentas sempadan ke Jawatankuasa Jerebu Rentas Sempadan ASEAN.
Menurut beliau, sebanyak 7,585 titik panas direkodkan di seluruh Kalimantan sepanjang Ogos berbanding 259 di Sarawak, sekali gus memerlukan kerjasama serantau bagi menangani isu berkenaan.
“Kita tidak pernah bermain dengan nyawa rakyat Sarawak, sebab itu semalam sekolah ditutup sebaik sahaja bacaan IPU mencecah 200,” katanya ketika ditemui media selepas Majlis Perasmian Borneo Animation and Games Festival (BAGFest) 2026, di sini, pada Jumaat.
Datuk Amar Douglas Uggah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak turut menasihatkan orang ramai mendapatkan maklumat berkaitan kualiti udara daripada sumber rasmi NREB, JAS dan portal ASEAN Specialised Meteorological Centre (ASMC), selain mengambil langkah berjaga-jaga dengan memakai pelitup muka serta mengehadkan aktiviti fizikal di luar rumah.
Dalam menghadapi risiko gangguan bekalan air susulan musim kering, katanya, setiap aduan kekurangan bekalan air perlu diberi tindakan dalam tempoh 12 jam, dengan Pejabat Residen dan Pejabat Daerah menjadi saluran untuk menerima aduan serta menggerakkan bantuan.
Sementara itu, beliau memaklumkan, Kerajaan Sarawak terus berhubung dengan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) bagi persediaan pembenihan awan apabila keadaan cuaca sesuai, susulan paras air di beberapa empangan dan takungan yang semakin membimbangkan.
Tambahnya lagi, di Kuala Baram, Miri, kesiapsiagaan menghadapi kebakaran turut dipertingkat menerusi penggunaan 12 telaga tiub, dron dan menara pemantau, selain kerjasama antara Bomba, CERT, agensi swasta serta Pejabat Residen bagi mengesan kepulan asap dan mengambil tindakan sebelum kebakaran merebak.
Tegasnya, kerajaan negeri terus memanfaatkan mekanisme ASEAN dalam usaha menangani isu jerebu rentas sempadan, selain memperkukuh kesiapsiagaan menghadapi kesan El Nino dan perubahan iklim. -EDISI UKAS