Peranan Ibu Bapa Perlu Terus Diperkasa Sokong Perkembangan Anak
BAU: Peranan ibu bapa dalam membentuk persekitaran keluarga yang selamat dan menyokong perkembangan anak perlu terus diperkasa bagi memastikan aspek pendidikan, emosi dan sosial anak-anak mendapat perhatian sejak usia awal.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar, Billy Sujang berkata, hubungan erat antara ibu bapa dan anak merupakan asas penting dalam memastikan kesinambungan pendidikan yang bermula sejak peringkat awal.
“Hubungan erat antara ibu bapa dan anak-anak amat penting bagi mewujudkan kesinambungan pendidikan yang bermula sejak peringkat TASKA dan tadika,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri Kursus Kemahiran Keibubapaan MAS Gading di Dewan Suarah Bau, pada Jumaat.
Menurut Billy, selain pendidikan, keharmonian dan kesejahteraan keluarga turut memainkan peranan penting dalam memastikan anak-anak membesar dalam persekitaran yang sihat dan positif.
Sehubungan itu, beliau menyifatkan penganjuran kursus berkenaan sebagai langkah baik dalam meningkatkan kesedaran ibu bapa terhadap tanggungjawab serta peranan mereka dalam perkembangan anak-anak.
Kursus anjuran KEMAS itu disertai 120 ibu bapa dan penjaga, dengan memberi tumpuan kepada dua isu utama iaitu keganasan rumah tangga serta penyediaan pemakanan yang sesuai untuk anak-anak.
Pengisian tersebut memberi pendedahan kepada peserta mengenai kepentingan mewujudkan persekitaran keluarga yang selamat dan kondusif, selain memastikan keperluan pemakanan anak diberi perhatian dalam menyokong tumbesaran yang sihat. -EDISI UKAS