Bola Tampar Wanita Sarawak Mara Ke Final, Selangkah Pertahan Kejuaraan
SELANGOR: Skuad bola tampar dewan wanita Sarawak kini hanya selangkah untuk mempertahankan kejuaraan Sukan Malaysia (SUKMA) selepas mara ke pentas final SUKMA XXII Selangor 2026 dengan menewaskan Wilayah Persekutuan 3-0 pada aksi separuh akhir, Jumaat.
Dalam perlawanan di Dewan Bola Tampar Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) Seksyen 4 itu, pemain Sarawak mempamerkan aksi meyakinkan untuk menamatkan cabaran lawan menerusi kemenangan straight set 25-21, 25-23 dan 25-17.
Sarawak membuka perlawanan dengan kemas apabila menguasai set pertama 25-21 sebelum berdepan tentangan lebih sengit pada set kedua.
Wilayah Persekutuan cuba mengheret saingan lebih jauh, namun ketenangan pemain Sarawak pada mata-mata penting membolehkan mereka menutup set kedua dengan kemenangan tipis 25-23.
Momentum itu diteruskan pada set ketiga apabila Sarawak tampil lebih dominan untuk menang 25-17, sekali gus melengkapkan kemenangan 3-0 dan mengesahkan tiket ke perlawanan akhir.
Kejayaan tersebut menyaksikan skuad wanita Bumi Kenyalang semakin hampir mempertahankan pingat emas yang dimenangi pada SUKMA XXI Sarawak 2024.
Dengan satu lagi halangan perlu ditempuhi, Sarawak kini berpeluang mengulangi kejayaan dua tahun lalu dan mengekalkan status sebagai juara bertahan acara bola tampar dewan wanita.
Aksi final bakal menjadi medan penentuan buat skuad Sarawak dalam misi memastikan pingat emas acara berkenaan kekal menjadi milik Bumi Kenyalang.
Turut hadir menyaksikan serta memberi sokongan padu kepada para pemain Sarawak ialah Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Prof Dr Sim Kui Hian, Ketua Kontinjen Sarawak, Datuk Gerald Rentap Jabu serta Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol.-EDISI UKAS
Laporan: Mulller Asen
Gambar: Muhammad Rais Sanusi