Sultan Pahang Berkenan Hadiri Majlis Santapan Malam Sempena Keberangkatan Tiba Di Kuching
KUCHING: Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah berkenan mencemar duli menghadiri Majlis Santapan Malam sempena keberangkatan tiba Baginda di sini pada Khamis.
Keberangkatan tiba Baginda sekitar jam 8 malam disambut oleh Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg.
Majlis dimulakan dengan nyanyian lagu rasmi Sarawak dan Pahang, sebelum disajikan dengan persembahan tarian pelbagai etnik di Sarawak sebagai tanda alu-aluan.
Turut ditayangkan video khas memaparkan Kembara Kenali Borneo 2023 yang diadakan ketika pemerintahan Baginda sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-16, sekali gus mengimbau hubungan erat antara Sarawak dan Pahang.
Baginda bersama para tetamu kemudiannya menikmati santapan malam sambil dihiburkan dengan persembahan nyanyian dan tarian kebudayaan yang mengetengahkan identiti serta keunikan masyarakat berbilang kaum di Sarawak.
Majlis diakhiri dengan lagu ‘Bekikis Bulu Betis’ yang menjadi simbol kesepakatan, kekuatan budaya dan kebanggaan masyarakat Sarawak.
Sultan Pahang kemudiannya berangkat meninggalkan majlis diiringi Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi, Premier Sarawak serta dif-dif kenamaan lain.
Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar, barisan Menteri Kabinet Sarawak, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, barisan Timbalan Menteri Sarawak, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad serta dif-dif kenamaan lain.-EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: Ibanez Jeffery