Malaysia Guna Saluran ASEAN Tangani Isu Jerebu Sarawak
BANDAR SERI BEGAWAN: Malaysia akan menggunakan saluran diplomatik ASEAN bagi mencari penyelesaian terhadap isu jerebu rentas sempadan yang menjejaskan Sarawak.
Menteri Luar Negeri Malaysia, Dato’ Seri Utama Mohamad Hasan berkata, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Dato’ Sri Arthur Joseph Kurup akan mengutus surat kepada rakan sejawatnya serta Sekretariat ASEAN berhubung perkara itu.
Menurut beliau, pendekatan menerusi mekanisme ASEAN dilihat lebih berkesan bagi menangani isu dan masalah alam sekitar yang melibatkan negara anggota ASEAN.
“Kita minta supaya mekanisme ASEAN digunakan untuk menangani isu dan masalah yang melibatkan negara-negara anggota ASEAN,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Mesyuarat ke-27 Pelaksanaan Pertukaran Surat (EOL-27) Malaysia-Brunei di sini pada Jumaat.
Katanya, surat berkenaan dijangka diserahkan kepada Sekretariat ASEAN dalam tempoh satu hingga dua hari bagi membolehkan Setiausaha Agung ASEAN menyelaras usaha bersama Malaysia dan Indonesia dalam menangani masalah kebakaran hutan.-EDISI UKAS
Disediakan oleh: Grace John Lee
Foto: Azzrie Mohamad Jeman