Eidelweiss Tepati Ramalan, Pertahan Emas Karate Sarawak
SHAH ALAM: Atlet karate Sarawak, Sami Eidelweiss Franzel Fancey menepati ramalan berjaya mempertahankan pingat emas dimenanginya dua tahun lepas pada edisi SUKMA XXII Selangor 2026.
Beliau menumpaskan peserta Terengganu, Mirza Amirah Syuhada Mohd Faizal dengan kiraan mata 3-0 dalam aksi final acara kumite wanita 68kg ke atas di Pusat Konvensyen IDCC Ideal di sini hari ini.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada jurulatih, ahli keluarga, kawan-rakan, rakan sepasukan kerana sentiasa percaya dan menberi sokongan kepada saya dalam SUKMA ini.
“Ini emas kedua saya, yang pertama pada SUKMA 2024 di Sarawak. Saya sangat gembira dan bersyukur,” katanya ketika ditemuramah UKAS selepas majlis penyampaian hadiah.
Hadiah disampaikan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS) Datuk Abdullah Saidol.
Mengulas mengenai persiapannya, atlet berusia 20 tahun itu berkata, beliau menjalani latihan ketat di bawah jurulatih Jarvis Julian.
Jelas beliau, latihan diadakan lima hari seminggu dalam sesi pagi dan malam berpusat di Kampung Sukan Miri.
Mengulas lanjut, pelajar Universiti Malaysia Sabah itu menyifatkan sokongan ibu bapa dan rakan-rakan sebagai motivasi kuat kepada beliau sepanjang penglibatannya dalam sukan tersebut.
“Saya ingin dedikasikan pingat emas ini buat Sensei Simon Chia yang meninggal dunia tahun ini. Saya mula berlatih bersama dia sejak 2022,” ujarnya lagi.
Mengenai perancangan masa depan, beliau berkata akan meneruskan latihan untuk menyertai Sukan Institusi Pendidikan Tinggi (SUKIPT).
Jika diberi peluang, beliau juga bersedia mewakili negara di Sukan SEA atau kejohanan antarabangsa yang lain.
Sementara itu, kem karate Sarawak turut merangkul satu perak dan satu gangsa pada hari pertama acara tersebut.
Perak disumbangkan oleh Muhammad Haziq Mohammad Shamsudin selepas tewas 5-0 kepada peserta Johor, Leidaneswaran Asaithamby dalam acara Kumite Lelaki 67kg Ke Bawah.
Gangsa pula disumbangkan oleh Jaclyn Saran Peter dalam acara Kumite Wanita 68kg Ke bawah selepas menewaskan wakil Pahang, 3-0. - EDISI UKAS