Dua Projek Bekalan Elektrik Di Ngemah Dijangka Siap Tahun Depan
KANOWIT: Dua projek bekalan elektrik luar bandar bernilai keseluruhan lebih RM13 juta di kawasan Ngemah kini sedang dilaksanakan dan dijangka siap pada 2027.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ngemah, Anyi Jana berkata, projek pertama di Ngemah Tengah melibatkan kawasan Nanga Bat dan Nanga Nirok, bernilai RM9.19 juta dan kini mencapai kemajuan 66.6 peratus.
“Projek ini bernama RES, iaitu ‘Rural Electric Supply’, yang dibekalkan kepada kawasan Ngemah Tengah bernilai RM9.19 juta,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Program Hari Bersama Komuniti @Ngemah 2026 anjuran Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) di Rumah Taboh Rimau, Skim Penempatan Semula (SPS) Nanga Ngungun, di sini pada Sabtu.
Menurut Anyi, satu lagi projek sedang dilaksanakan di Hulu Ngemah melibatkan tiga rumah panjang dengan nilai RM3.9 juta dan kini mencapai kemajuan sembilan peratus.
“Jadi, kedua-dua projek ini sedang berjalan, manakala yang di Hulu Ngemah, baru sembilan peratus siap. Kalau ikut jadual siapnya, kedua-dua projek ini akan siap pada 2027,” ujarnya.
Hadir sama, Timbalan Pengarah I UKAS, Mohamed Faizal Shah Ali yang mewakili Pengarah UKAS, wakil Pegawai Daerah Kanowit, Harmon Gilbert Sinju serta Ketua Masyarakat Iban Daerah Kanowit, Pemanca Charlie Salang.-EDISI UKAS