Skuad Foil Lelaki Sarawak Tewaskan Pulau Pinang, Raih Gangsa
SELANGOR: Skuad lawan pedang Sarawak menambah koleksi pingat kontinjen Bumi Kenyalang selepas meraih gangsa dalam acara Foil Berpasukan Lelaki dalam Sukan Malaysia (SUKMA) XXII Selangor 2026, pada Sabtu.
Pasukan Sarawak yang dibarisi Chang Kai Yong, Chong Ting Jing, Ewan Weishan Yunus dan Izzareff Bustaman Awg Fadli mempamerkan aksi meyakinkan untuk menewaskan Pulau Pinang 45-21 dalam perlawanan penentuan pingat gangsa.
Beraksi di Dewan Pusat Sukan UiTM Shah Alam, Sarawak yang diletakkan sebagai pilihan ketiga berjaya mengawal saingan dengan baik sebelum melengkapkan kemenangan dengan kelebihan 24 mata ke atas Pulau Pinang.
Kemenangan tersebut sekali gus memastikan kuartet Bumi Kenyalang menamatkan saingan acara berkenaan di kedudukan ketiga dan membawa pulang pingat gangsa buat kontinjen Sarawak.
Kejayaan itu turut mencerminkan semangat juang serta kerjasama berpasukan yang dipamerkan barisan atlet Sarawak dalam memastikan mereka tidak pulang dengan tangan kosong selepas mengharungi saingan sepanjang acara berkenaan.
Pingat gangsa tersebut sekali gus menambah koleksi pingat skuad lawan pedang Sarawak pada temasya SUKMA XXII Selangor 2026.-EDISI UKAS