UKAS Dekati Komuniti Ngemah Menerusi Program Hari Bersama Komuniti
KANOWIT: Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) terus memperkukuh pendekatan turun padang bagi mendekati masyarakat luar bandar menerusi Program Hari Bersama Komuniti @Ngemah 2026 di Rumah Taboh Rimau, Skim Penempatan Semula (SPS) Nanga Ngungun, di sini.
Program selama dua hari itu menjadi platform interaksi secara langsung antara UKAS, agensi kerajaan dan masyarakat setempat menerusi pelbagai aktiviti kemasyarakatan serta memberi peluang kepada penduduk mendapatkan maklumat berkaitan perkhidmatan serta inisiatif kerajaan.
Penglibatan aktif penduduk dalam pelbagai aktiviti yang disediakan turut mencerminkan usaha UKAS mewujudkan komunikasi dua hala yang lebih dekat dan santai dengan komuniti di peringkat akar umbi.
Antara pengisian program ialah sukaneka yang disertai kira-kira 50 penduduk dari Rumah Taboh Rimau dan rumah panjang berhampiran, selain pertandingan mewarna kategori wanita warga emas berusia 50 tahun ke atas yang melibatkan 18 peserta.
Program turut menampilkan Kuiz Kenegaraan yang menyediakan lima hadiah khas daripada UKAS, di samping sesi ramah mesra dan jamuan bersama komuniti.
Pada sebelah malam, acara diteruskan dengan Malam UKAS Bersama Komuniti yang dimeriahkan dengan pertandingan karaoke kategori tuai rumah, persembahan artis jemputan, Phoebe Chloe dan Rem Jana serta penampilan istimewa artis UKAS, Firdaus Materang.
Pertandingan karaoke menyaksikan penyertaan 11 tuai rumah yang tampil menghiburkan penduduk menerusi pelbagai genre lagu.
Pengisian tersebut sekali gus menjadikan program berkenaan bukan sahaja sebagai wadah untuk mendekati masyarakat, malah menyediakan ruang interaksi santai serta mengeratkan silaturahim dalam kalangan penduduk setempat.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ngemah, Anyi Jana, Timbalan Pengarah 1 UKAS, Mohamed Faizal Shah Ali, Ketua Masyarakat Iban Daerah Kanowit, Pemanca Charlie Salang dan Tuai Rumah Taboh Rimau. -EDISI UKAS