Pelayaran Tuai Dua Emas, Satu Perak & Dua Gangsa Buat Sarawak
SELANGOR: Skuad pelayaran Sarawak menampilkan aksi memberangsangkan pada Sukan Malaysia (SUKMA) XXII Selangor 2026 apabila meraih dua pingat emas, satu perak dan dua gangsa menerusi lima acara di Pusat Latihan Perahu Layar Batu Laut, Kuala Langat, pada Sabtu.
Kilauan emas pertama hadir menerusi acara International 420 Wanita hasil gandingan Nur Asma Syahrizan dan Nur Aqilah Raifana Aslan yang berjaya menamatkan saingan di kedudukan teratas.
Sarawak kemudian menambah satu lagi emas menerusi Muhd Yaasin Syahrizan dalam acara Optimist Individu Lelaki, sekali gus melengkapkan pencapaian dua emas buat kontinjen Bumi Kenyalang dalam sukan berkenaan.
Dalam acara ILCA 6 Lelaki, Farish Hanif Zamri turut memberikan saingan kompetitif sebelum mengesahkan pingat perak buat Sarawak.
Sementara itu, Mohd Hazmi Suwandy menyumbang pingat gangsa menerusi acara ILCA 4 Lelaki selepas menamatkan saingan di kedudukan ketiga.
Satu lagi gangsa diperoleh menerusi acara Optimist Berpasukan yang dibarisi Muhd Yaasin Syahrizan, Firas Syazwan Zamri, Muhd Afham Amsyar Aslan, Izz Qaireen Chairullah dan Qairina Nur Aisy Mohamad Afandi Abdul Fatah.
Pencapaian itu turut menyaksikan Muhd Yaasin muncul antara pelayar menyerlah Sarawak apabila menyumbang satu emas dalam acara individu serta satu gangsa dalam acara berpasukan.
Secara keseluruhan, kutipan dua emas, satu perak dan dua gangsa itu menjadi pencapaian membanggakan skuad pelayaran Sarawak dalam saingan SUKMA XXII Selangor 2026.
Turut hadir memberi sokongan dan menyampaikan pingat kepada pemenang ialah Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak merangkap Penolong Ketua Kontinjen (ACDM) Sukan Pelayaran, Datuk Rosey Yunus. -EDISI UKAS
Laporan: Muller Asen
Gambar: Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS)