Adib Raja Keirin Baharu SUKMA, Tamatkan Penantian 40 Tahun Sarawak
NILAI: Skuad berbasikal Sarawak sekali lagi melakar sejarah baharu pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) XXII Selangor 2026 selepas kejayaan atlet berbasikal trek, Adib Andhar Andan memenangi acara Keirin Lelaki di Velodrome Nasional Malaysia hari ini.
Kejayaan bersejarah itu sekali gus menamatkan penantian selama 40 tahun Sarawak untuk memenangi acara tersebut pada temasya dwitahunan itu.
Ia merupakan kejayaan bersejarah kedua dilakar kem berbasikal Sarawak pada edisi SUKMA kali ini selepas turut memenangi perlumbaan Ujian Masa Individu buat julung kalinya sebelum ini.
Dalam perlumbaan seramai enam peserta itu, Adib (20) bermula tenang namun sentiasa mengekalkan dirinya dalam kelompok pelumba lain.
Namun beliau mula menjarakkan diri dari pelumba lain pada pusingan terakhir sebelum memecut hingga ke garisan penamat untuk memenangi perlumbaan tersebut.
Pingat perak dirangkul peserta Johor, Ahmad Danial Haiqal Ahmad Rifaiee manakala pelumba Negeri Sembilan, Muhammad Luqman Haqim Ali Badrun meraih gangsa.
“Sarawak tidak pernah memenangi acara keirin pada SUKMA. Ini adalah sejarah.
“Alhamdullillah pingat ini sangat berharga buat diri saya dan saya hadiahkannya buat ibu saya yang baharu sahaja menyambut hari jadi, dan sudah tentunya untuk Sarawak,” katanya ketika ditemuramah selepas majlis penyampaian hadiah.
Menurut atlet kebangsaan kelahiran Kuching itu, peluang berlatih bersama jaguh keirin negara, Datuk Mohd Azizulhasni Awang di Velodrome Nasional digunakannya sebaiknya untuk menimba ilmu dan pengalaman bagi meningkatkan kemahirannya.
Beliau juga menyifatkan kejayaan itu sebagai penutup bermakna baginya dalam kancah SUKMA selepas gagal memenangi apa-apa pingat pada edisi di Sarawak dua tahun lepas.
Mengenai perancangan masa depan, atlet kelahiran Kuching itu menanam impian untuk mencipta kejayaan di pentas Sukan SEA, Sukan Asia dan Sukan Olimpik.
Perlumbaan akhir itu turut disaksikan oleh Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah yang turut menyampaikan hadiah kepada pemenang. - EDISI UKAS