Premier Sarawak Sambut Ketibaan Perdana Menteri Malaysia Di Brunei
BANDAR SERI BEGAWAN: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg bersama delegasi Malaysia menyambut ketibaan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim di sebuah hotel di sini pada jam 6.40 petang Jumaat.
Turut bersama menyambut ketibaan Perdana Menteri ialah Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Menteri Luar Negeri, Dato’ Seri Utama Mohamad Hasan, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki serta beberapa anggota delegasi Kerajaan Malaysia.
Perdana Menteri tiba di Brunei Darussalam pada jam 6.10 petang Jumaat bersama isteri, Dato’ Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, dan disambut oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Brunei Darussalam, Pengiran Muda ‘Abdul Mateen serta isteri.
Esok, Dato’ Seri Anwar dijadual menghadiri Rundingan Pemimpin Tahunan Kali Ke-27 antara Malaysia dan Negara Brunei Darussalam (Annual Leaders’ Consultation – ALC-27) bersama Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah di Istana Nurul Iman.
Rundingan berkenaan dijangka menyentuh beberapa perkara berkepentingan bersama, dengan kedua-dua pemimpin dijangka menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) berkaitan kerjasama pengurusan bencana.
Sementara itu, hubungan perdagangan Malaysia-Brunei kekal positif apabila jumlah dagangan kedua-dua negara pada 2025 direkodkan sebanyak RM5.86 bilion (USD1.37 bilion).
Daripada jumlah itu, eksport Malaysia ke Brunei bernilai RM4.20 bilion (USD0.98 bilion), manakala import dari Brunei berjumlah RM1.66 bilion (USD0.39 bilion).
Bagi tempoh Januari hingga Jun 2026, jumlah dagangan antara kedua-dua negara pula mencecah RM2.38 bilion (USD0.6 bilion). -EDISI UKAS