Sekolah Menengah Ming Lik Terima Peruntukan RM484,680 Daripada Kerajaan Sarawak
SARIKEI: Sekolah Menengah Ming Lik menerima peruntukan RM484,680 daripada Kerajaan Sarawak bagi membantu menampung perbelanjaan sekolah untuk tahun ini.
Majlis penyerahan peruntukan itu disempurnakan oleh Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi merangkap Ahli Parlimen Sarikei, Dato’ Sri Huang Tiong Sii di Pusat Khidmat DUN Repok, baru-baru ini.
Dato’ Sri Huang yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok mewakili Kerajaan Sarawak menyerahkan cek replika kepada Pengerusi Lembaga Pengurusan Sekolah Menengah Ming Lik, Pemanca Chan Phan Chan bersama ahli Lembaga yang lain.
Peruntukan tersebut merupakan sebahagian daripada RM10 juta yang disalurkan oleh Kerajaan Sarawak tahun ini kepada 14 sekolah menengah persendirian Cina di seluruh negeri.
Ia disalurkan bagi menyokong perbelanjaan operasi, meningkatkan kualiti pengajaran serta menambah baik kemudahan pendidikan sekolah.
Sementara itu, Pemanca Chan berkata pendekatan terbuka Kerajaan Sarawak terhadap pendidikan, termasuk pengiktirafan keputusan UEC serta peluang melanjutkan pengajian secara percuma di universiti milik Sarawak bagi pelajar yang memenuhi syarat, mencerminkan komitmen kerajaan dalam menyokong pendidikan pelbagai aliran.
“Pendekatan yang terbuka ini menunjukkan kerajaan menghormati keperluan pendidikan pelbagai aliran dan memastikan mereka mendapat sokongan yang sewajarnya,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Dato’ Sri Huang atas perhatian berterusan terhadap perkembangan Sekolah Menengah Ming Lik.
Menurutnya, sepanjang hampir 11 tahun sebagai wakil rakyat, beliau telah menyalurkan bantuan berjumlah lebih RM1 juta kepada sekolah berkenaan bagi menyokong pembangunan dan menaik taraf kemudahannya.
“Selain bantuan pembangunan sekolah, Dato’ Sri Huang turut menyumbangkan pakaian seragam, kasut dan beg sekolah kepada pelajar, sekali gus membantu meringankan beban ibu bapa,” katanya. -EDISI UKAS