Kemudahan Mesin ATM Mudahkan Urusan Penduduk Balingian
BALINGIAN: Penduduk di kawasan Balingian kini mempunyai akses lebih mudah kepada perkhidmatan perbankan dengan penyediaan mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di Pejabat Daerah Kecil Balingian.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian, Abdul Yakub Arbi berkata, kemudahan berkenaan merupakan hasil usaha berterusan bagi memenuhi keperluan penduduk setempat.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Pejabat Daerah Kecil Balingian dan Kerajaan Sarawak atas usaha merealisasikan permohonan tersebut.
Menurut beliau, cadangan penyediaan kemudahan ATM berkenaan telah dibangkitkan dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 2024 dan sekali lagi pada November 2025.
“Sekarang kita sudah mempunyai mesin ATM di Balingian. Terima kasih kepada Pejabat Daerah yang mengusahakan kemudahan ini di sini serta Kerajaan Sarawak yang menyokong permohonan rakyat kawasan DUN Balingian,” katanya ketika ditemui pemberita semasa mengadakan lawatan ke mesin ATM berkenaan, pada Jumaat.
Beliau berharap kemudahan tersebut dimanfaatkan sebaik mungkin oleh penduduk, khususnya bagi urusan pengeluaran dan penyimpanan wang.
Menurut Abdul Yakub, sebelum ini kerajaan turut berusaha menyediakan perkhidmatan ATM bergerak menerusi RHB Bank bagi membantu meningkatkan akses penduduk kepada perkhidmatan perbankan.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan mesin ATM berkenaan hanya beroperasi pada waktu pejabat dan ditutup pada hujung minggu atas faktor keselamatan berikutan lokasinya berada di kawasan terbuka.
Hadir sama, Pegawai Menguasa Pejabat Daerah Mukah, Nolin Gendang, Pegawai UKAS Bahagian Mukah, Hafizzul Abdul Halim, Penghulu Harbi Bakir, Penghulu Merjuki Sahari dan Penghulu Langi Telajan. -EDISI UKAS