Karnival Al-Muhtadin Saratok Perkukuh Silaturahim Masyarakat
SARATOK: Karnival Al-Muhtadin Saratok 2026 menjadi platform memperkukuh peranan masjid sebagai pusat keagamaan dan kemasyarakatan selain mengeratkan hubungan antara masyarakat setempat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri berkata, penganjuran karnival sempena ulang tahun ke-8 Masjid Al-Muhtadin Saratok itu turut memberi peluang kepada masyarakat berbilang kaum dan agama untuk mengenali fungsi serta peranan masjid.
Menurutnya, program yang berlangsung dari 8 hingga 25 Ogos itu mengangkat tema ‘Memakmurkan Masjid, Memperkasakan Ummah’ dengan pelbagai pengisian keagamaan, ilmiah dan kemasyarakatan.
Antara aktiviti yang dianjurkan termasuk pameran, ceramah agama, pertandingan marhaban, bacaan Al-Fatihah, gerai jualan, pertandingan akademik serta acara sukan yang mendapat sambutan menggalakkan daripada masyarakat setempat.
Program Hari Terbuka turut diadakan dengan menjemput penduduk dari beberapa rumah panjang berkunjung ke masjid bagi mengeratkan silaturahim, memupuk sikap saling menghormati serta memperkukuh keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama.
Karnival turut disertai agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Daerah Saratok menerusi pameran dan gerai yang menyediakan maklumat serta perkhidmatan kepada orang ramai.
Kemuncak sambutan dijadualkan pada 25 Ogos menerusi Perhimpunan Sambutan Maulidur Rasul yang dijangka menghimpunkan masyarakat setempat bagi menyemarakkan syiar Islam dan semangat perpaduan.
Turut hadir, wakil Pegawai Daerah Saratok Hatta Adenan, Pemancar Sahari Gani dan Penghulu Razali Bujang. -EDISI UKAS