DALAT: Pembangunan Sarawak terus dipacu berpandukan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) yang memberi tumpuan kepada kemakmuran ekonomi, keterangkuman sosial dan kelestarian alam sekitar.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, aspirasi berkenaan perlu diterjemahkan kepada peluang yang nyata di peringkat daerah dan masyarakat, termasuk memperkasa penduduk tempatan untuk menjadi usahawan, pekerja, pelabur serta pemimpin masyarakat yang memacu pertumbuhan ekonomi setempat.
"Dalat mempunyai potensi besar dalam sektor pertanian, perikanan, agroindustri, keusahawanan, pelancongan serta pelbagai aktiviti ekonomi berasaskan sumber tempatan.
"Dengan adanya kelebihan ini, Dalat perlu terus dibangunkan bagi mewujudkan peluang ekonomi baharu dan meningkatkan kesejahteraan masyarakat," katanya.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat Daerah Dalat di Tebingan Dalat, pada Sabtu.
Menurut Premier Sarawak, pembangunan tidak seharusnya terhad kepada pengeluaran bahan mentah, sebaliknya perlu memberi penekanan kepada penghasilan nilai tambah melalui pemprosesan, penjenamaan, inovasi dan akses pasaran yang lebih luas.
Sehubungan itu, beliau berkata, produk tempatan dari Dalat perlu dipasarkan ke seluruh Sarawak dan luar Sarawak, bukannya hanya tertumpu kepada pasaran daerah atau setempat.
Katanya, peningkatan kualiti produk, pembungkusan yang menarik, strategi pemasaran yang berkesan serta penggunaan platform digital dapat membantu produk tempatan menembusi pasaran yang lebih luas.
Dalam pada itu, beliau memberitahu, golongan muda perlu menjadi sebahagian daripada transformasi ekonomi Dalat dengan melihat pertanian, keusahawanan, teknologi dan ekonomi digital sebagai bidang yang mampu menyediakan kerjaya serta pendapatan yang mampan.
Menyentuh mengenai Tebingan Dalat Fasa 3, beliau berkata, projek berkenaan mencerminkan komitmen Kerajaan Sarawak dalam menyediakan ruang awam berkualiti yang bukan sahaja berfungsi sebagai infrastruktur, malah mampu menjana aktiviti sosial, kebudayaan, pelancongan dan ekonomi tempatan.
Sementara itu, katanya, pembukaan Pusat Pemprosesan Baja Organik dan Makanan Ternakan disifatkan sebagai langkah penting dalam memperkukuh rantaian nilai pertanian di Dalat.
Menurutnya, kemudahan itu membolehkan sumber pertanian diproses secara tempatan bagi menghasilkan produk bernilai tambah tinggi, sekali gus mewujudkan peluang ekonomi baharu serta meningkatkan potensi pendapatan petani, penternak dan usahawan.
"Dengan memproses sumber ini secara tempatan dan menghasilkan produk bernilai tambah tinggi, kita dapat memperkukuh rantaian bekalan tempatan serta meningkatkan potensi pendapatan mereka yang terlibat dalam aktiviti pertanian dan penternakan," jelasnya.
Terdahulu, Datuk Amar Dr Sim telah merasmikan Pusat Pemprosesan Baja Organik serta Pengindahan Dalat Waterfront Fasa 3.
Turut hadir, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dalat, Dato Sri Fatimah Abdullah. -EDISI UKAS