147 Pelajar Cemerlang DUN Tarat Terima Insentif Akademik Berjumlah RM29,270
SIBURAN: Seramai 147 pelajar cemerlang dari sekolah-sekolah di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tarat menerima insentif akademik berjumlah RM29,270 bagi Tahun Akademik 2025 pada Majlis Anugerah Insentif Pelajar Cemerlang di Dewan Serbaguna Tapah, di sini pada Sabtu.
Dalam ucapannya, Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tarat, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn merakamkan ucapan tahniah kepada semua penerima atas pencapaian masing-masing.
Daripada keseluruhan 147 penerima, 79 individu merupakan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), manakala 54 orang terdiri daripada calon Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), diploma dan ijazah.
Buat pertama kalinya tahun ini, insentif turut diberikan kepada 14 murid Tahun 6 yang menduduki Ujian Penilaian DLP 2025 dan memperoleh keputusan terbaik iaitu 2A dan 1B dalam Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau menyeru agar pengamal pendidikan negeri ini memberi lebih perhatian terhadap Matematik bagi membantu murid membina asas kukuh dalam bidang berkenaan.
Dato Sri Roland Sagah turut menyentuh mengenai peluang pendidikan yang disediakan Kerajaan Sarawak, termasuk tawaran kepada 14 murid berkenaan untuk melanjutkan pendidikan di Sekolah Menengah Antarabangsa Yayasan Sarawak.
Jelasnya, sekolah berkenaan menawarkan kelebihan dari segi pendidikan berteraskan Bahasa Inggeris serta peluang menduduki peperiksaan IGCSE Cambridge yang diiktiraf di peringkat antarabangsa. -EDISI UKAS