Komuniti Digesa Bersama Pelihara Kebersihan, Perkukuh Daya Tarik Sematan
SEMATAN: Komuniti setempat digesa memainkan peranan bersama dalam memastikan kebersihan dan keceriaan persekitaran terus dipelihara bagi memperkukuh daya tarikan Sematan sebagai destinasi pelancongan, sekali gus merancakkan aktiviti ekonomi masyarakat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Datu, Azizul Annuar Adenan berkata, usaha menjadikan Sematan sebagai destinasi pilihan pelancong memerlukan komitmen semua pihak, khususnya dalam mewujudkan persekitaran yang bersih, selesa dan menarik.
Menurut beliau, kebersihan bukan sahaja mencerminkan imej sesebuah kawasan, malah turut mempengaruhi pengalaman pelancong dan persepsi mereka terhadap sesuatu destinasi.
“Sematan mempunyai potensi besar untuk terus berkembang sebagai destinasi pelancongan, namun pembangunan itu perlu disokong dengan persekitaran yang bersih dan indah.
“Kebersihan bukan hanya tanggungjawab pihak berkuasa tempatan, sebaliknya merupakan tanggungjawab bersama seluruh komuniti,” katanya ketika berucap merasmikan Program ‘Zero Waste Village Campaign 4.0’ 2026 yang berlangsung di Tebingan Sungai Sematan pada Sabtu.
Tambahnya, penglibatan masyarakat dalam menjaga kebersihan perlu dijadikan satu budaya berterusan kerana usaha tersebut bukan sahaja memberi keselesaan kepada penduduk, malah mampu meningkatkan daya tarikan Sematan kepada pengunjung dari dalam dan luar kawasan.
Menyentuh mengenai pembangunan semasa, Azizul memberitahu, pembangunan Tebingan Sungai Sematan bernilai RM15 juta merupakan antara projek strategik yang mampu memberi nilai tambah kepada sektor pelancongan serta membuka lebih banyak peluang ekonomi kepada komuniti setempat.
Katanya, pembangunan tersebut tidak seharusnya dilihat sebagai projek fizikal semata-mata, sebaliknya sebagai pemangkin kepada kegiatan ekonomi melalui sektor makanan dan minuman, kraftangan, produk tempatan, perkhidmatan serta aktiviti berkaitan pelancongan.
“Apabila Tebingan Sungai ini siap kelak, komuniti perlu bersedia untuk mengambil peluang yang ada supaya pembangunan ini memberi limpahan manfaat secara langsung kepada rakyat.
“Kita mahu lebih ramai masyarakat setempat terlibat dalam aktiviti ekonomi, di samping membantu merancakkan ekonomi Sematan serta menyumbang kepada peningkatan hasil Majlis Daerah Lundu (MDL),” katanya. -EDISI UKAS