Kelly Teo Yao Hadiah Perak 400m Gaya Bebas Buat Sarawak
SELANGOR: Perenang Sarawak, Kelly Teo Yao menghadiahkan pingat perak buat Bumi Kenyalang selepas mempamerkan renangan bertenaga dalam acara 400 Meter Gaya Bebas Wanita pada Sukan Malaysia (SUKMA) XXII Selangor 2026 di Pusat Akuatik Darul Ehsan, pada Sabtu.
Beraksi di lorong ketiga, Kelly mengekalkan rentak konsisten sepanjang perlumbaan sebelum menyentuh dinding penamat dengan catatan 4 minit 33.52 saat, sekali gus mengesahkan kedudukan kedua.
Pingat emas menjadi milik perenang tuan rumah, Chong Yuan Yi yang mencatatkan masa 4:29.70 minit, manakala Tan Rui Nee dari Pulau Pinang meraih gangsa dengan catatan 4:34.06 minit.
Seorang lagi wakil Sarawak, Chereen Ngo Yirui turut memberikan saingan sebelum menamatkan perlumbaan di kedudukan kelima keseluruhan dengan catatan 4 minit 41.19 saat.
Kejayaan Kelly sekali gus menambah koleksi pingat kontinjen Sarawak menerusi sukan akuatik pada temasya kali ini.-EDISI UKAS