Mia Mara Final Muay Thai, Selangkah Lagi Buru Emas Buat Sarawak
SELANGOR: Atlet Muay Thai Sarawak, Emylia Lynn Ghazali Zulfikar mengesahkan tempat ke final acara Wanita 42–45 kilogram pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) XXII Selangor 2026 selepas menewaskan wakil Sabah, Yong Feng Yue dalam aksi separuh akhir di KSL Esplanade Mall, pada Sabtu.
Emylia Lynn yang lebih mesra dipanggil Mia mempamerkan aksi mantap dan agresif sepanjang pertarungan sebelum mencatat kemenangan 30-14, sekali gus meletakkannya selangkah lagi daripada kilauan emas buat Bumi Kenyalang.
Kejayaan Mia yang berusia 15 tahun itu turut diiringi sorakan padu penyokong Sarawak serta kedua-dua ibu bapanya yang hadir memberikan sokongan dari luar gelanggang, sekali gus menjadi pembakar semangat kepadanya untuk terus memberikan aksi terbaik.
Lebih istimewa, abangnya, Jojo turut berada di sudut gelanggang sebagai corner man, memainkan peranan penting memberikan arahan, bimbingan serta suntikan semangat kepada adiknya sepanjang pertarungan.
Dengan sorakan penyokong bergema dan keluarga berada dekat memberikan sokongan, Mia kekal fokus serta berjaya mengawal rentak pertarungan sebelum mengesahkan kemenangan dengan kelebihan 16 mata.
Kemenangan itu menyaksikan Mia bakal berdepan wakil Johor, Damia Husna Azian di pentas final selepas lawannya itu menewaskan Nur Arisya Sofia Binti Abdullah dari Wilayah Persekutuan dengan keputusan 22-18 dalam satu lagi aksi separuh akhir.
Dengan tiket final sudah berada dalam genggaman, Mia kini sekurang-kurangnya memastikan satu pingat buat kontinjen Sarawak, namun misi belum selesai apabila tumpuannya kini terarah untuk menyempurnakan perjuangan dengan pingat emas.- EDISI UKAS