Sultan Pahang Berangkat Pulang, Tamatkan Lawatan Rasmi Di Sarawak
KUCHING: Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berangkat pulang ke Pahang dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) pada Sabtu sekitar jam 10 pagi, menandakan berakhirnya lawatan rasmi selama tiga hari ke Bumi Kenyalang.
Hadir mengiringi keberangkatan pulang Baginda ialah Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek untuk Agensi Pembangunan Wilayah, DBKU dan Hal Ehwal Islam), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak, Datuk Dr Hazland Abang Hipni serta dif-dif kehormat lain.
Keberangkatan Baginda ke Sarawak bermula pada 20 Ogos lalu dengan menghadiri Majlis Santapan Malam bersama Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg.
Pada Jumaat, Baginda berkenan menunaikan solat Jumaat bersama masyarakat setempat sebelum menyempurnakan perasmian Masjid Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Telok Melano.
Masjid tersebut mempunyai nilai sentimental tersendiri buat Sultan Pahang yang sebelum ini berkenan menyempurnakan majlis pecah tanah pada 13 September 2023 ketika menaungi negara sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-16.
Baginda turut berkenan menyempurnakan penanaman anak pokok Bauhinia Purpurea di pekarangan masjid, selain meluangkan masa bersiar-siar di Pantai Telok Melano dan bergambar di titik Kilometer 0.00 Lebuhraya Pan Borneo. -EDISI UKAS
Disediakan oleh: Nur Nabilla
Foto: Pejabat Setiausaha Kerajaan Persekutuan Sarawak