Perlumbaan Bot Laju Buka Tirai Baleh Kapit Raft Safari 2026
KAPIT: Aksi perlumbaan bot laju sempena Baleh Kapit Raft Safari 2026 berlangsung meriah pada Jumaat dengan penyertaan peserta dari Kapit dan beberapa kawasan lain termasuk Song, Dalat, Bintulu, Kanowit, Marudi, Lundu serta Brunei Darussalam.
Perlumbaan yang berlangsung dari jam 8 pagi hingga 5 petang itu menyaksikan peserta berentap dalam pusingan saringan bagi merebut tempat terbaik untuk mara ke peringkat seterusnya.
Antara kategori dipertandingkan pada hari pertama ialah 30HP 2 Cyl Tunnel Boat, 18HP & Below Tunnel Boat, 30HP 3 Cyl Tunnel Boat serta Formula 5 (50HP) Tunnel Boat.
Persaingan sengit dapat disaksikan apabila peserta mempamerkan kecekapan, kepantasan dan strategi masing-masing dalam mengendalikan bot pada kelajuan tinggi.
Deruman enjin serta aksi peserta turut menarik perhatian orang ramai yang hadir menyaksikan perlumbaan, sekali gus memeriahkan suasana sepanjang laluan perlumbaan.
Perlumbaan bot laju menjadi antara acara tumpuan Baleh Kapit Raft Safari 2026, selain mengetengahkan sukan air sebagai platform menarik penyertaan peserta dari dalam dan luar Sarawak. -EDISI UKAS