24 Kelas Autisme Di TABIKA KEMAS Sarawak Tahun Depan
KOTA SAMARAHAN: Sebanyak 24 kelas autisme akan disediakan di TABIKA KEMAS di seluruh Sarawak tahun depan, meningkat daripada satu kelas tahun ini, bagi memperluas akses pendidikan awal kepada kanak-kanak berkeperluan khas khususnya di kawasan luar bandar.
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang berkata, peluasan itu penting bagi membantu keluarga luar bandar yang berdepan kekangan kewangan mendapatkan pendidikan khas untuk anak-anak mereka.
“Daripada satu kelas tahun ini, tahun depan kita akan bergerak menjadi 24 kelas di seluruh Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan GEMA@KKDW Tahun 2026 Peringkat Sarawak di Halaman Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS), pada Sabtu.
Menurutnya, secara keseluruhan terdapat 132 kelas autisme di TABIKA KEMAS seluruh Malaysia, manakala peluasan di Sarawak akan dilaksanakan secara berperingkat.
Katanya, penyediaan kelas berkenaan penting khususnya kepada keluarga luar bandar yang mungkin berdepan kekangan kewangan untuk menghantar anak ke pusat pendidikan khas swasta.
“Jangan anak itu tinggal di rumah sahaja. Dia perlu ada peluang pendidikan untuk anak-anak itu lebih berdikari,” katanya.
Datuk Rubiah berkata pendekatan tersebut bukan sahaja memberi peluang pendidikan kepada kanak-kanak berkeperluan khas, malah membantu meningkatkan perkembangan dan kemahiran mereka supaya lebih berdikari.
Dalam perkembangan berkaitan, KEMAS turut memperkenalkan kelas pintar menggunakan teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI) dalam pendidikan awal kanak-kanak.
Beliau berkata projek rintis telah dilaksanakan di sebuah TABIKA KEMAS di Sebuyau, termasuk penyediaan papan pintar digital dan kemudahan berkaitan.
Katanya, tiga hingga empat kelas pintar tambahan disasarkan di Sarawak tahun depan secara berperingkat, dengan capaian internet menjadi antara pertimbangan utama dalam menentukan lokasi pelaksanaan. -EDISI UKAS
Disediakan oleh: Lonney Jinab
Foto: Natalie Cherinie Johnny