Pembaharuan Calon Beri Ruang Kepada Generasi Baharu Dalam Kepimpinan
KUCHING: Pembaharuan barisan calon pada setiap pilihan raya penting bagi menyediakan ruang kepada generasi baharu untuk mengambil bahagian dalam kepimpinan, di samping mengekalkan pengalaman sedia ada.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, keseimbangan antara generasi berpengalaman dengan generasi muda merupakan antara aspek yang perlu diberikan perhatian dalam proses peralihan kepimpinan.
Menurut beliau, pembaharuan secara berperingkat turut memberikan ruang kepada pengundi untuk melihat perubahan dalam barisan calon yang diketengahkan.
“Memang setiap pilihan raya mesti ada usaha untuk menampilkan muka-muka baru, terutama sekali calon-calon muda.
“Kita kena hormat dengan rakyat, pengundi. Rakyat tak dapat bertahan 10 tahun muka sama semua. Sebab itulah kadang-kadang memandang pilihan raya kita tiap lima tahun itu mesti ada perubahan,” katanya.
Beliau yang juga calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi DUN Asajaya berkata demikian ketika ditemui pemberita sempena Majlis Penyerahan Watikah Calon GPS pada Khamis.
Majlis berkenaan disempurnakan oleh Premier Sarawak merangkap Pengerusi GPS, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg.
Dato Sri Abdul Karim yang juga Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak berkata, barisan calon sewajarnya merangkumi pelbagai kelompok usia, termasuk golongan veteran, pertengahan dan generasi muda bagi mengimbangi pengalaman serta perspektif baharu dalam kepimpinan.-EDISI UKAS