Penyertaan Calon Wanita Meningkat Pada PRN Sarawak Ke-13
KUCHING: Penyertaan wanita sebagai calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-13 meningkat daripada empat kepada lima orang, melibatkan dua muka baharu dan tiga penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, latar belakang akademik, pengalaman profesional serta pengalaman di lapangan merupakan antara aspek yang diambil kira dalam pemilihan calon wanita.
Menurut beliau, dua calon muka baharu yang diketengahkan mempunyai latar belakang akademik dan pengalaman profesional, manakala tiga penyandang wanita mempunyai pengalaman dalam DUN serta khidmat kepada masyarakat di kawasan masing-masing.
“Calon-calon kita mestilah berwibawa dan berpotensi menang. Itu penting dalam pilihan raya dan kita mempunyai calon yang memenuhi kriteria tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita sempena Majlis Penyerahan Watikah Calon GPS di Ibu Pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Sarawak pada Khamis.
Majlis berkenaan disempurnakan oleh Premier Sarawak merangkap Pengerusi GPS, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg.
Dato Sri Fatimah yang juga Ketua Wanita GPS dan calon GPS bagi kerusi DUN Dalat menjelaskan bahawa kepelbagaian latar belakang dan kepakaran wanita mampu memperkaya proses perbincangan serta pembuatan keputusan dalam pentadbiran.
Katanya, penyertaan wanita turut membawa perspektif berbeza, khususnya dalam memberikan perhatian kepada aspek kemanusiaan dan kesejahteraan sosial, selain pembangunan fizikal dan infrastruktur.
Dalam pada itu, calon baharu GPS bagi DUN Muara Tuang, Dr Dayang Nurfizawati Abang Abdul Karim berharap dapat menjalin kerjasama erat dengan masyarakat setempat dalam menggalas tanggungjawab yang diberikan.
“Saya berharap dapat bekerjasama rapat dengan masyarakat di lapangan, khususnya parti dan komuniti setempat. Saya juga berharap mereka dapat menerima saya sebagai sebahagian daripada pasukan di Muara Tuang,” katanya.
Mengulas penyertaan wanita pada PRN kali ini, Dr Dayang Nurfizawati berpandangan bahawa pemilihan calon wanita perlu terus berasaskan merit dan keupayaan, bukan sekadar memenuhi kuota.
“Kita berbangga kerana jumlah calon wanita meningkat daripada empat kepada lima. Namun, saya percaya penyertaan wanita perlu berasaskan merit kerana kita berada di situ atas kemampuan dan keupayaan untuk melaksanakan tanggungjawab,” ujarnya.
Dua muka baharu berkenaan ialah Dr Dayang Nurfizawati Abang Abdul Karim bagi DUN Muara Tuang dan Nurfatin Syafawani Tahamat bagi DUN Bekenu.-EDISI UKAS
Disediakan oleh: Nur Nabilla
Foto: Nur Nabilla & Hazrin Sunaini