Wilfred Mahu Kota Sentosa Terus Nikmati Pembangunan Sarawak
KUCHING: Pembangunan infrastruktur dan kesejahteraan penduduk akan terus menjadi keutamaan calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) di Kota Sentosa, Wilfred Yap Yau Sin sekiranya diberi mandat untuk meneruskan khidmat sebagai wakil rakyat di Dewan Undangan Negeri (DUN) berkenaan.
Menurutnya, masih banyak keperluan pembangunan di kawasan itu yang perlu diberi perhatian, khususnya kemudahan infrastruktur asas dan penyelesaian masalah yang dihadapi penduduk.
Jelas Wilfred, pendekatan yang dibawa adalah berteraskan usaha menyelesaikan masalah rakyat melalui kerjasama dengan kerajaan serta membawa isu yang memerlukan penyelesaian lebih besar kepada pihak kepimpinan tertinggi.
“Yang penting kita kena bekerja di mana kita mesti bekerjasama dengan kerajaan supaya dapat menyelesaikan masalah di lapangan demi manfaat rakyat,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Penyerahan Watikah Calon GPS yang disempurnakan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, di sini pada Khamis.
Tambahnya lagi, penduduk Kota Sentosa perlu menikmati hasil pembangunan yang dirancang kerajaan negeri, seiring dengan kemajuan ekonomi, tenaga hijau, teknologi hijau dan ekonomi digital Sarawak.
Beliau dalam pada itu turut menekankan kepentingan wakil rakyat untuk sentiasa turun padang, mengenal pasti keperluan penduduk serta mengambil tindakan terhadap masalah yang dibangkitkan.
“Premier kita telah banyak kali menegur wakil rakyat GPS supaya turun padang.
“Beliau telah memberikan peruntukan kepada wakil rakyat untuk menyelesaikan masalah,” katanya.
Justeru, beliau berharap penduduk Kota Sentosa dapat bersama-sama menyokong usaha pembangunan kawasan itu agar manfaatnya dapat dinikmati secara menyeluruh oleh masyarakat setempat. -EDISI UKAS