Serembu Berpotensi Jadi Hab Pembekalan Makanan Sarawak
KUCHING: Kedudukan strategik Serembu berhampiran bandar raya Kuching serta keluasan tanah yang berpotensi dibangunkan membuka peluang kepada kawasan berkenaan untuk muncul sebagai salah satu hab pembekalan makanan di Sarawak.
Calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Serembu, Dato Miro Simuh berkata, potensi tersebut boleh diterokai menerusi pembangunan tanah Hak Adat Bumiputera (NCR), pengembangan aktiviti pertanian serta industri pemprosesan makanan.
Menurut beliau, kedudukan Serembu yang hanya sekitar 30 hingga 40 minit perjalanan dari Kuching memberikan kelebihan dari segi akses kepada pasaran hasil pertanian.
“Potensi terbesar Serembu ialah untuk menjadikan kawasan ini sebagai salah satu hab pembekal makanan kepada Sarawak disebabkan jaraknya yang begitu dekat dengan Kuching dan keluasan tanahnya yang masih belum dibangunkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita sempena Majlis Penyerahan Watikah Calon GPS pada Khamis.
Majlis berkenaan disempurnakan oleh Premier Sarawak merangkap Pengerusi GPS, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg.
Menurut Dato Miro, pembangunan sektor pertanian berpotensi membuka lebih banyak peluang ekonomi kepada penduduk setempat, termasuk menerusi aktiviti pengeluaran, pemprosesan dan pemasaran hasil pertanian di Kuching.
Beliau turut menyentuh keperluan mengenal pasti model pembangunan tanah NCR yang bersesuaian bagi membolehkan kerjasama antara pemilik tanah dengan pelabur memberikan manfaat bersama.
Katanyq, aspek pengukuran dan penentuan sempadan tanah turut diberikan perhatian bagi memudahkan proses pemberian hak milik.-EDISI UKAS