Pembangunan Fizikal Perlu Seiring Pembentukan Insan Berakhlak
LIMBANG: Kemajuan pembangunan fizikal dan ekonomi perlu diseimbangkan dengan pembentukan insan berilmu, berakhlak dan berpegang kepada nilai agama bagi memastikan kemajuan masyarakat membawa manfaat jangka panjang.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, penghayatan terhadap Al-Quran perlu diterjemahkan dalam kehidupan seharian dan bukan sekadar melalui pembacaan.
“Al-Quran bukan sekadar untuk dibaca, tetapi perlu difahami, dihayati dan diamalkan dalam kehidupan seharian agar mampu membentuk cara berfikir serta menjadi panduan dalam membuat keputusan dan menentukan arah masa depan,” katanya.
Beliau berkata demikian melalui teks ucapan dibacakan oleh Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail pada Majlis Penangguhan Tilawah Al-Quran Peringkat Bahagian Limbang Tahun 1448H/2026M, pada Jumaat.
Menurutnya, kemajuan ummah tidak akan tercapai tanpa perubahan dalam diri individu, khususnya dari segi ilmu, sikap dan akhlak.
Beliau berkata, tema ‘Ummah Maju Makmur’ membawa mesej bahawa pembangunan sebenar bukan hanya bergantung kepada kemajuan fizikal dan ekonomi, tetapi turut memerlukan pembangunan insan.
Dalam konteks Sarawak, katanya, kepelbagaian kaum dan agama perlu dilihat sebagai kekuatan dalam membina masyarakat yang saling menghormati, bertoleransi dan bersatu padu.
Pada masa sama, Datuk Amar Awang Tengah mengingatkan supaya kemajuan teknologi dan ekonomi tidak menyebabkan nilai kemanusiaan, adab dan akhlak diketepikan.
Sehubungan itu, beliau menyeru agar budaya membaca, memahami dan menghayati Al-Quran terus diperkasa, khususnya dalam kalangan generasi muda sebagai panduan menghadapi perubahan dan cabaran semasa.
Hadir sama, Residen Bahagian Limbang, Unus Tambi, Pegawai Daerah Limbang, Sulaiman Engal, Pegawai Daerah Lawas, Ladin Atok, Pengerusi Majlis Daerah Limbang, Sufian Mohat dan Pegawai Tadbir Agama Islam Bahagian Limbang, Asikurahman Othman. -EDISI UKAS