Pemulihan Kawasan Terjejas Ribut Dipercepat, Penilaian Kerosakan Sedang Dilaksana
LIMBANG: Proses pemulihan kawasan terjejas akibat kejadian ribut di beberapa lokasi di daerah Limbang dipercepat menerusi penilaian kerosakan dan penyelarasan bantuan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD).
Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata, penilaian menyeluruh penting bagi mengenal pasti tahap kerosakan serta keperluan penduduk sebelum bantuan disalurkan.
“Kerjasama semua pihak amat penting dalam memastikan proses pemulihan berjalan lancar, termasuk tindakan awal oleh penduduk serta penyelarasan bantuan oleh agensi berkaitan bagi mempercepatkan baik pulih kawasan terjejas,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media semasa meninjau kawasan terjejas ribut di Dewan Kampung Bunga Raya, di sini, pada Jumaat.
Menurutnya, kejadian tersebut telah diklasifikasikan sebagai bencana tahap satu, dengan JPBD digerakkan bagi menilai kerosakan di kawasan terlibat.
Katanya, hasil penilaian berkenaan akan digunakan untuk menyelaras penyaluran bantuan menerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak bagi memastikan keperluan penduduk terjejas dapat ditangani dengan segera.
Dalam pada itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota menggalakkan penduduk yang terjejas dan berkemampuan melaksanakan kerja-kerja pembaikan awal sementara menunggu penilaian rasmi pihak berkuasa.
“Kos pembaikan yang telah dibuat akan disemak untuk tuntutan semula, tertakluk kepada penilaian yang akan dilaksanakan oleh jawatankuasa berkaitan,” katanya.
Beliau turut menekankan peranan JKKK dan agensi berkaitan dalam membantu menyelaras keperluan penduduk serta memastikan kerja pemulihan dilaksanakan dengan teratur sehingga keadaan kembali pulih.
Hadir sama, Residen Bahagian Limbang merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Limbang, Unus Tambi dan Pegawai Daerah Limbang merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Limbang, Sulaiman Engal. -EDISI UKAS