Skuad Memanah Sarawak Akhiri SUKMA XXII Dengan Cemerlang, Lepasi Sasaran Dua Emas
KAJANG: Skuad memanah Sarawak menamatkan kempen Sukan Malaysia (SUKMA) XXII Selangor 2026 dengan cemerlang selepas berjaya merangkul tiga pingat emas, dua perak dan dua gangsa.
Pencapaian itu sekali gus membolehkan skuad memanah Sarawak melepasi sasaran dua pingat emas pada kempen yang berlangsung dari 17 hingga 22 Ogos di Stadium INSPEN di sini.
Pemenang emas 2024, Joey Tan Xing Lei membuktikan kredibilitinya sebagai pemanah muda berpotensi negara apabila menghadiahkan kilauan emas pertama Sarawak menerusi acara Recurve 70 Meter Wanita.
Sarawak kemudiannya menambah dua lagi pingat emas pada hari ketiga acara berkenaan masing-masing menerusi acara Compound Berpasukan Campuran dan Compound Berpasukan Wanita.
Dalam acara Compound Berpasukan Campuran, pasangan Sarawak, Eason Lau Hui Wan dan Wee Yi Qi berjaya menewaskan pasangan Kedah untuk menghadiahkan emas kedua.
Manakala pingat emas ketiga disumbangkan oleh Aira Nadirah, Nur Zara Aisyah dan Yi Qi selepas menundukkan wakil Terengganu.
Dalam pada itu, Joey Tan turut menyumbang perak buat Sarawak dalam kategori Recurve Perseorangan Wanita.
Satu lagi perak disumbangkan oleh trio Compound Berpasukan Lelaki yang diwakili Eason Lau, Ryan Yong dan Zhorif Fahim.
Yi Qi turut menambah menyumbang koleksi gangsa Sarawak dalam acara Compound Perseorangan Wanita.
Manakala gangsa terakhir Sarawak dirangkul dalam acara Recurve Berpasukan Lelaki menerusi Pok Hoe En, Melvin Tieh Xuan Ruey dan Darren Chua Huay Zhe selepas mengetepikan cabaran Sabah. - EDISI UKAS