DBNA Satukan Masyarakat Bidayuh, 71 Tahun Perjuangan Buahkan Kejayaan
SERIAN: Perjuangan selama 71 tahun oleh Persatuan Kebangsaan Dayak Bidayuh (DBNA) dalam memperjuangkan kepentingan serta pembangunan masyarakat Bidayuh di kawasan bandar dan luar bandar kini membuahkan hasil yang membanggakan.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak merangkap Penasihat DBNA Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata, kejayaan tersebut merupakan hasil usaha bersama barisan kepimpinan serta ahli DBNA yang sentiasa berpegang kepada semangat perpaduan dan kebersamaan.
Menurut beliau, kekuatan DBNA selama ini terletak pada keupayaannya menyatukan masyarakat Bidayuh tanpa mengira latar belakang dan lokasi, khususnya dari Lundu hingga ke Serian dan Samarahan.
“Pembinaan komuniti perlu berteraskan perpaduan, ‘Indi awang, Indi asung’.
“Manakala pembangunan fizikal pula memerlukan sokongan kewangan,” katanya ketika berucap merasmikan Bangunan Komuniti DBNA Serian, pada Jumaat.
Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tarat itu menasihatkan barisan kepimpinan dan ahli jawatankuasa eksekutif DBNA supaya tidak melupakan jasa serta sumbangan pemimpin terdahulu yang telah meletakkan asas kukuh kepada perjuangan persatuan tersebut.
Ujarnya, kesinambungan kepimpinan amat penting bagi memastikan perjuangan yang telah dimulakan sejak 71 tahun lalu terus diperkukuh dan diwariskan kepada generasi akan datang.
Turut hadir, Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak merangkap ADUN Mambong Datuk Dr Jerip Susil, Ahli Parlimen Serian Dato Sri Richard Riot Jaem, ADUN Bukit Semuja John Ilus, ADUN Tebedu Dr Simon Sinang Bada, Penasihat (Pendidikan) di Jabatan Premier Sarawak merangkap Penasihat DBNA Serian Datuk Amar Michael Manyin Jawong, Presiden DBNA Datuk Ik Pahon Joyik, Residen Bahagian Serian Mackos Sibong serta Pengerusi DBNA Serian Dr Charlie Ungang. -EDISI UKAS