Samarahan Berselawat Wadah Hayati Pembangunan 40 Tahun
KOTA SAMARAHAN: Program Samarahan Berselawat menjadi salah satu pendekatan untuk masyarakat bersama-sama menghayati perjalanan pembangunan Bahagian Samarahan sepanjang empat dekad.
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah merangkap Ahli Parlimen Kota Samarahan, Datuk Rubiah Wang berkata, program yang julung kali diadakan itu turut menjadi platform keagamaan untuk masyarakat menzahirkan rasa syukur terhadap kemakmuran dan pembangunan yang dinikmati di Samarahan.
“Program Samarahan Berselawat ini julung kali diadakan dan Alhamdulillah mendapat sambutan yang amat baik daripada penduduk Samarahan.
“Selain berselawat, kita turut menampilkan pengisian bersama Imam Muda Asyraf dan kumpulan The Rayhan sebagai satu platform keagamaan untuk kita mencurahkan rasa kesyukuran terhadap kemakmuran dan pembangunan yang telah kita nikmati di Kota Samarahan,” katanya.
Beliai berkata demikian ketika ditemui media selepas program berkenaan yang dihadiri kira-kira 3,000 orang di Halaman Samarahan, pada Jumaat.
Menurutnya, Samarahan berkembang pesat sejak ditubuhkan sebagai bahagian pentadbiran pada 1986, bukan sahaja dari segi pembangunan infrastruktur, malah turut mencatat kemajuan dalam bidang ekonomi dan pembangunan modal insan.
Beliau berkata, perkembangan sektor pendidikan turut menjadi antara pencapaian penting Samarahan apabila semakin ramai anak tempatan berjaya melanjutkan pengajian ke institusi pendidikan tinggi.
Katanya, pembangunan Samarahan kini turut dipacu menerusi perancangan menjadikan kawasan itu sebagai hab pendidikan dan pengeluaran makanan, selaras dengan keperluan pembangunan ekonomi serta modal insan.
Dalam pada itu, Datuk Rubiah berkata Bahagian Samarahan yang dahulunya merupakan kawasan kecil kini berkembang kepada lima daerah, sekali gus membolehkan pentadbiran dan pembangunan dilaksanakan dengan lebih tersusun dan berfokus.
Menurutnya, pembangunan infrastruktur menerusi perancangan kerajaan turut membawa limpahan ekonomi kepada masyarakat, termasuk di kawasan yang dahulunya dianggap terpinggir dan terpencil.
Turut hadir sebagai tetamu kehormat ialah Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asajaya, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.
Hadir sama, Residen Bahagian Samarahan Mohamad Irwan Bahari Bujang, Pengarah KEMAS Negeri Sarawak Taufik Mohd Yusop, Pengarah RISDA Negeri Sarawak Shaharuddin Saberi, Pegawai Daerah Samarahan Ahmad Abdul Razak dan Pegawai Daerah Asajaya Jerry Zannuddin Bidin. -EDISI UKAS