Pusat Komuniti Wanita Jadi Hab Pembangunan, Keusahawanan Setempat
KUCHING: Pusat Komuniti Wanita Bandar Baru Samariang bakal menjadi hab pelbagai aktiviti pembangunan wanita dengan menyediakan ruang bagi latihan kemahiran, keusahawanan, pendidikan, kebajikan dan kesihatan.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek untuk Agensi Pembangunan Wilayah, DBKU dan Hal Ehwal Islam), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, penyediaan kemudahan tersebut memberi peluang kepada wanita setempat untuk memperluas kemahiran serta meningkatkan penglibatan dalam pembangunan komuniti.
Menurutnya, pusat berkenaan diwujudkan sebagai pusat sehenti yang boleh dimanfaatkan bagi pelaksanaan pelbagai program pembangunan wanita dan kemasyarakatan.
“Kemudahan itu diwujudkan sebagai pusat sehenti untuk pelbagai aktiviti pembangunan wanita, termasuk latihan kemahiran, program keusahawanan, pendidikan, kebajikan, kesihatan serta aktiviti kemasyarakatan yang mampu memperkukuh jaringan komuniti setempat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Pusat Komuniti Wanita Bandar Baru Samariang di pusat tersebut, pada Ahad.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Damai itu berkata, pembinaan pusat berkenaan dilaksanakan menerusi peruntukan Projek Program Transformasi Luar Bandar (RTP) Pantai Damai tahun 2025 dengan kos RM200,000 dan siap sepenuhnya pada Mei tahun lalu.
Katanya, kewujudan kemudahan berkenaan diharap dapat membuka lebih banyak ruang kepada golongan wanita untuk menjalankan aktiviti yang memberi manfaat kepada diri, keluarga dan masyarakat.
Dalam pada itu, beliau berharap pusat tersebut dimanfaatkan secara optimum menerusi pelbagai program yang dapat menggalakkan penglibatan aktif wanita dalam pembangunan setempat.
Menurutnya, penglibatan berterusan golongan wanita juga mampu memperkukuh jaringan sosial, semangat kerjasama dan perpaduan dalam kalangan komuniti Bandar Baru Samariang. -EDISI UKAS