Masyarakat Digesa Berwaspada, Tangani Ancaman Penipuan Dalam Talian
KUCHING: Masyarakat, khususnya golongan warga emas, digesa supaya sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan pelbagai taktik penipuan yang semakin canggih.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Sentosa, Wilfred Yap Yau Sin berkata, penipu pada masa kini menggunakan pelbagai kaedah dan penyamaran bagi memperdayakan mangsa termasuk menyamar sebagai pegawai polis, pegawai bank, pegawai kerajaan mahupun individu yang dikenali.
“Penipu hari ini semakin canggih. Mereka mungkin menyamar sebagai pegawai polis, pegawai bank, pegawai kerajaan atau orang yang kita kenali.
“Oleh itu, kita perlu sentiasa mengingati tiga perkara mudah iaitu berhenti, periksa dan sahkan,” katanya ketika berucap semasa menghadiri Program Taklimat Anti Scam yang berlangsung di Hon Ang Restaurant, di sini, baru-baru ini.
Justeru, Wilfred menggesa agar masyarakat berganding bahu membina komuniti yang lebih selamat dan mempunyai kesedaran tinggi terhadap ancaman penipuan.
Taklimat kesedaran berkenaan mendapat penyertaan ramai dalam kalangan warga emas yang hadir bagi mendapatkan maklumat mengenai modus operandi serta langkah-langkah pencegahan terhadap jenayah penipuan.
Turut diadakan perkongsian daripada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengenai pelbagai taktik yang digunakan oleh sindiket penipuan untuk memerangkap mangsa.
Antaranya termasuk penipuan pelaburan tidak wujud, tawaran pekerjaan atau perkhidmatan kerajaan palsu, penipuan pembelian dalam talian menerusi media sosial, Macau Scam, penipuan panggilan telefon, penipuan bungkusan, pinjaman tidak wujud serta penipuan menggunakan aplikasi Android Package Kit (APK).
Orang ramai yang menjadi mangsa penipuan pula disaran segera menghubungi National Scam Response Centre (NSRC) di talian 997 bagi membolehkan tindakan segera diambil. -EDISI UKAS